Islam Menyatukan Bukan Menindas
Oleh : Adli Mohamad
KUALA TERENGGANU- Sejarah telah membuktikan bahawa Islam merupakan agama yang membawa kepada penyatuan bukan bersifat menindas.
Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata ianya berbeza dengan agama yang lain apabila menang dan menguasai dunia ataupun sesebuah negara membawa kepada bentuk penindasan.
“Sejarah membuktikan bila Yahudi menang, menindas Kristian, Kristian menang menindas Yahudi.
“(Apabila) Majusi menang, menindas yang tidak Majusi, Hindu menang, menindas Budha (dan) Budha menang menindas Hindu,” demikan dinyatakanya.
Hal berkenaan menjadi sebahagian ucapan beliau, pada Himpunan Penyatuan Ummah (HPU) Peringkat Negeri Terengganu, di Stadium Negeri Terengganu, di sini, 25 Oktober.
Maka demikian, jelasnya hanya dengan kemenangan Islam akan menjamin kebebasan beragama kepada kaum bukan Islam.
“Maka Islam mesti memimpin (negara) apabila hendak (memastikan) Islam memimpin orang Islam mesti bersatu dan tidak boleh berpecah,” ujarnya.
Kerana itu, orang bukan Islam jangan takut dengan penyatuan dua parti Melayu, diantara PAS dan UMNO.
“Bila Melayu ini Islam maka orang bukan Islam jangan risau kerana di dalam sejarah dunia tidak ada agama dan tidak ada ideologi yang boleh memimpin masyarakat majmuk melainkan Islam,” jelas beliau.
Katanya, perpecahan dua parti Melayu berkenaan sewajarnya menimbulkan kesedaran dan keinsafan serta diberi pengajaran oleh Allah SWT.
“Hukuman yang kita rasa sangat berat laksana batu besar yang dihumban di dalam lubuk yang tenang.
“Kita ingat lubuk yang tenang itu tiada apa bila batu besar jatuh timbul (daripada) dalam lubuk itu ikan-ikan yang baik, buaya-buaya, ular dan segalanya,” ujarnya yang pandai berkias.
Daripada perkara demikian, jelas beliau telah berlakunya tapisan bagi menguatkan kedua-dua parti tersebut.
Presiden PAS, Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi AwangSebagai panduan sejarah Islam dan kejayaan agama berkenaan menurut beliau perlu diteladani, dan betapa besar pengorbanan Rasulullah apabila memaafkan pembunuh bapa saudaranya.
Berpandukan perkara berkenaan, tambahnya lagi, perlu dijadikan panduan di dalam penyatuan diantara dua parti berkenaan.
Jelasnya lagi, di dalam memenangkan Islam di Malaysia, kedua parti tersebut tidak boleh memikirkan penguasaan di Negeri Terengganu dan Kelantan sahaja.
Beliau turut menegaskan, untuk mencipta kemenangan melalui Penyatuan Ummah, Melayu Islam di Malaysia perlu mempunyai kesedaran mengundi.
“Kerajaan (Malaysia) didominasi oleh bukan Islam kerana kita tidak faham politik (serta) tidak faham mengundi,” ujarnya.
Telah turut disampaikan sebuah pantun bagi memberi gambaran perkara berkenaan.
“Buah Salak Buah Kedondong,dilumur dikumit didalam baldi,bukan salah ibu mengandung,tetapi salah memangkah undi,” ucap beliau.