Cikgu Wan Hapandi Pengerusi Kelab Usahawan Haraki Terengganu
Oleh: Mohd Asraf
KUALA NERUS – Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Dungun Cikgu Haji Wan Hapandi Wan Nik telah dilantik sebagai Pengerusi Kelab Usahawan Haraki Terengganu.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura berkata, jawatan yang diberikan ini adalah satu amanah yang sangat berat dan tidak mungkin dipikul seorang diri.
“Seperti yang kita maklum PAS sedang giat mengumpulkan usahawan usahawan yang ada di Malaysia untuk bergerak bersama parti bagi memperkuatkan ekonomi ummat Islam khususnya.
“Selepas ini kita akan bentuk satu jawatankuasa diperingkat negeri kemudian ke peringkat kawasan pula agar objektif kelab ini sampai kepada masyarakat.
“Dengan amanah yang diberi ini, saya berdoa dan berharap agar dapat menggalasnya dengan baik demi ekonomi ummah rakyat,” katanya kepada media ketika ditemui di Konvensyen 2.0 Usahawan Haraki Kuala Terengganu.
Menurutnya, Kelab Usahawan Haraki dengan slogan Jihad Ekonomi Ummah merupakan kelab yang menghimpunkan usahawan usahawan seluruh negara duduk dibawah satu bumbung dan ia dibawah kelolaan Lajnah Ekonomi, Hartanah dan Pembangunan Usahawan PAS Pusat.
Turut hadir ialah Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, Ketua Lajnah Ekonomi PAS Pusat, Ustaz Fauzi, Setiausaha Lajnah Ekonomi PAS Pusat, Dato Seri Bukhari Ghazali, Pengerusi Kelab Usahawan Haraki, Che Salmi Che Ibrahim, Pengarah Urusan SABASUN dan YB Mohd Khuzaini Ab. Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja.
Konvensyen 2.0 Usahawan Haraki yang berlangsung di Duyong Marina & Resort berjaya menghimpunkan 300 usahawan usahawan dari seluruh negara.