Muafakat Nasional Talian Hayat Untuk Rakyat
Oleh : Husaif MamatFoto : Syaiful Mustafa
KUALA TERENGGANU – Muafakat Nasional yang dahulunya dikenali sebagai Penyatuan Ummah adalah satu harapan baharu bukan sahaja orang Melayu Islam tetapi juga buat seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik.
Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Ustaz Husain Awang menegaskan, kesepakatan itu sangat penting dalam menghadapi suasana politik yang hari ini berada dalam keadaan berkecamuk.
Jelasnya, situasi tersebut boleh dilihat apabila berlakunya banyak isu terutamanya melibatkan agama Islam dan ketuanan melayu.
“Kita bukan nak bagi talian hayat pada UMNO, tetapi kepada rakyat, apabila situasi sekarang yang memperlihatkan ketuanan melayu dicabar oleh golonga-golongan tertentu.
“Islam sebagai agama rasmi negara yang diperuntukkan dalam perlembagaan telah mula dicabul dan dinodai oleh pihak sana,” ujarnya ketika berucap dalam Liqa’ Fikri PAS Terengganu, di sini hari ini.
Menurut beliau, sekiranya Muafakat Nasional tidak berlaku sebagaimana yang tercipta pada 14 September lalu, sudah tentu rakyat Malaysia terutama yang beragama Islam hidup dalam tekanan.
“Jika kita biarkan kerosakkan itu terus berlaku berkemungkinan ketuanan Islam akan terkesan dan melayu akan hilang dari bumi Malaysia ini.
Tambah Ustaz Husain, muafakat tersebut adalah strategi bagi memastikan Islam tidak terabai daripada daripada mana-mana pemerintahan negara dan ia bergerak seiring dengan prinsip PAS.
“Maka inilah (menjaga Islam) hasrat dan prinsip yang telah digagaskan oleh kepimpinan kita dalam mengadakan kerjasama dengan UMNO.
“Bagi menjayakan itu, kita (PAS Terengganu) akan mengadakan satu perjumpaan dan perbincangan khas bersama UMNO Terengganu pada minggu depan (1 Oktober),” tambah beliau.