PAS Laksana Manifesto Bantu SAR, Sekolah Pondok
KUALA TERENGGANU – Kerajaan PAS Terengganu melaksanakan janji manifestonya, memberi bantuan geran tahunan kewangan sebanyak RM3.875 juta kepada 103 Pondok Tahfiz Dan Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang terdapat di negeri ini.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu YB Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata ia adalah tanda keprihatinan terhadap usaha mereka yang berjuang dalam memartabatkan pembangunan insan dalam kalangan masyarakat.
Katanya, sumbangan kali pertama ini mencakupi untuk sekolah-sekolah pondok yang diusahakan dengan jerit perih mereka sendiri dalam membangunkan tanah wakaf dan membina bangunan untuk mengekalkan pengajian kitab mereka.
“Dan sekolah-sekolah pondok ini banyak melahirkan individu-individu serta tokoh-tokoh yang telah beri khidmat kepada masyarakat dalam membangunkan pembinaan insan bukan hanya di Terengganu tetapi juga di luar negeri.
“Bahkan mereka menyambung pengajian yang lebih tinggi di institusi –institusi terkenal di seluruh dunia dan kembali berkhidmat di tanahair mereka sendiri atau di luar negeri Terengganu.Oleh itu, kerajaan melahirkan rasa prihatin untuk memberi sumbangan setakat kemampuan kewangan yang dimiliki oleh kerajaan negeri,” ujarnya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, berkata demikian ketika berucap Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Pondok Tahfiz Dan Sekolah Agama Rakyat (SAR) Serta Majlis Pelancaran Program Latihan Kemahiran Di Pondok Tahun 2019 di Pondok Ibtida’i Ajil, semalam.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. ahmad Samsuri Mokhtar dengan penyerahan sembilan replika cek kepada wakil institusi pondok, tahfiz dan SAR yang berdaftar dengan pihak kerajaan negeri.
Turut hadir, Setiausaha PAS Terengganu Haji Muhyiddin Abd Rashid, Pengerusi Jawatankuasa Insfrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Mamad Puteh dan Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Ajil, Maliaman Kassim.
Hadir sama, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Mat Azmi Arshad dan Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Johan Ibrahim.