LATAS Menyokong Penuh, Hargai Komitmen Exco Pertanian
KUALA TERENGGANU – Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar PAS (LATAS) Negeri menyokong penuh komitmen Kerajaan untuk menjadikan kawasan penanaman padi Kampung Jelapang sebagai satu Jelapang Padi Nasional (JPN).
Setiausahanya, Abd Raof Mohamed berkata, penegasan Pengerusi Pertanian, Asas Tani dan Pembangunan Desa, Dr. Azman Ibrahim, amat dihargai.
“Bagi LATAS Setiu kami yakin hak-hak mereka sebagai pesawah seperti hak milik tanah, bantuan saliran dan pengairan, khidmat nasihat dan lain-lain masaalah akan dapat diselesaikan sebaiknya.
“Ini terbukti dengan komitmen YB Exco (Dr Azman), Jabatan Kerajaan yang terlibat untuk sama-sama menjayakan agenda kebajikan rakyat semasa sidang dialog yang diadakan,” tegas Abd Raof Mohamed yang merupakan Pengerusi LATAS Setiu ketika dihubungi semalam.
Menurutnya, pada 12 Mac lalu, lawatan kerja yang dibuat ke kawasan tersebut, telah memberi gambaran awal bahawa, nasib petani akan diberi keutamaan.
Katanya, dengan penyelesaian masaalah yang sudah terlalu lama dihadapi para pesawah terbabit akan memberi lonjakan dan motivasi kepada usaha dan cita-cita murni kerajaan PAS Terengganu.
“Kita harap segala usaha ini akan memberi manfaat untuk semua terutama kepada pesawah di Kampung Jelapang, Bukit Layat dan Bukit Putera yang sekian lama dinafikan hak mereka,” jelasnya.