Buktikan Cinta dan Kasih Kepada Islam dan Rasul
KUALA TERENGGANU – Orang ramai khususnya wanita Islam diseru membuktikan cinta dan kasih kepada Islam dan Nabi dengan menghadirkan diri ke Perhimpunan Aman Membantah Penghinaan Terhadap Rasulullah SAW.
Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu, Hajah Zarani Othman berkata perhimpunan yang akan diadakan pada hari jumaat, 1 Mac 2019 itu adalah serentak selepas solat Jumaat di masjid-masjid seluruh negara.
“Umat Islam di negara ini semakin hari semakin dicabar dengan pelbagai penghinaan terhadap Islam dan tohmahan jahat terhadap baginda Rasulullah S.A.W,” katanya dengan rasa kesal.
Beliau yang mewakili Muslimat PAS Terengganu menerusi laman sosial miliknya pada 28 Februari, dipetik berkata Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu mendesak pihak kerajaan Malaysia mengambil tindakan tegas dalam menangani isu tersebut.
“Demi menjaga kesucian Islam serta sensitiviti penganutnya di samping keharmonian dan keamanan rakyat berbilang kaum di Malaysia,” ujarnya.
Ketua Muslimat PAS Kawasan Marang itu juga turut melahirkan kekecewaannya apabila individu yang memuat naik status yang menghina Nabi, namun dengan mudah dibebaskan oleh pihak berkuasa.
“Sebagai umat Islam kita wajib bersatu, bangkit mempertahankan Rasulullah SAW daripada segala tohmahan dan penghinaan yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam.
“Firman Allah di dalam Surah Al Imran ayat 31 – 32 yang bermaksud: Katakanlah (Wahai Muhammad), “Jika kamu mencintai Allah, ikutilah aku niscaya Allah mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu.” Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang.
“Dan katakanlah (Wahai Muhammad), “Taatilah Allah dan Rasul-Nya. Jika kamu berpaling, ketahuilah bahawa Allah tidak menyukai orang-orang kafir.”
Justeru, beliau memetik kata-kata ulama tersohor, Dr. Hamka, “Jika kamu diam saat agamamu dihina, maka gantilah bajumu dengan kain kafan”.