Nelayan Rungsing Lesen Ditarik, Hilang Punca Pendapatan
KUALA TERENGGANU – Insiden penarikan lesen penggunaan bot pukat tunda tempatan yang telah dilakukan balik oleh Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Perikanan Malaysia, merunsingkan para nelayan.
Ketua Pemuda PAS Malaysia YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, tindakan tersebut telah menyebabkan mereka hilang punca pendapatan dan rezeki di musim terkujuh.
Sebaliknya kata beliau, kebiasaan sebagaimana musim gelora pada tahun-tahun sebelumya, kebenaran diberikan kepada pemegang ‘lesen B’ untuk keluar menangkap ikan.
“Setiap tahun mulai bulan Disember, Januari dan Februari telah diberi kebenaran oleh Jabatan Perikanan dengan jaraknya 2 batu nautika,
“Kebenaran itu diberikan yang terakhir pada bulan Januari 2018 yang lepas,
“Ia melibat semua kawasan dalam negeri Terengganu, cuma yang saya fokus di dalam Kuala Terengganu khususnya di Pelabuhan Chendering dan Marang yang melibatkan 21 orang nelayan yang terlibat dalam insiden itu,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Batu Buruk.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas berkait isu terbabit di Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Kuala Terengganu pada Selasa 5 Februari.
Hadir sama ialah Ahli Parlimen Kuala Terengganu,YB Haji Ahmad Amzad Hashim.
Terdahulu, Ustaz Muhammad Khalil yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran Negeri telah mengutarakan isu tersebut bersama Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim.
Menurut Ustaz Khalil pertemuan telah diadakan dengan nelayan-nelayan yang terlibat di Pelabuhan LKIM Chendering pada 21 Januari lalu.
Justeru itu beliau mewakili para nelayan tersebut memohon jasa baik Menteri terbabit agar prihatin dan memberikan kelonggaran agar mereka boleh turun ke laut.
“Bidang kuasa untuk memberi kebenaran bukan bidang kuasa Kerajaan Negeri tetapi dibawah Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Perikanan Malaysia,
“Kita telah melalui saluran-saluran yang betul tetapi tidak berkesan. Saya meminta jasa YB Haji Amzad Hashim melalui Ahli Parlimen Kuala Terengganu untuk membawa isu ini ke peringkat (kerajaan) pusat,” tegas beliau.