Hakisan pantai Bari Kecil Diberi Perhatian
SETIU – Kebimbangan penduduk terhadap hakisan pantai di Kampung Bari Kecil, Permaisuri akan diberi perhatian untuk diselesaikan dengan segera.
Ahli Parlimen Setiu Ustaz Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, beliau telah dimaklumkan bahawa keadaan itu berlaku disebabkan oleh pembinaan jeti untuk pengambilan pasir silika.
“Pokok-pokok tumbang dan saya dimaklumkan tandas yang dibina Majlis Daerah Setiu (MDS) sudah terhakis dan sekarang tidak kelihatan lagi.
“Semakin hari semakin merebak di mana kesannya adalah disebabkan oleh pembinaan Airport dahulu.
“Oleh itu kita harap perkara ini tidak berulang di sini yang mungkin satu hari nanti kubur itu juga akan terhakis,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui ketika melakukan lawatan ke pesisir pantai tersebut pada petang Selasa, 15 Januari.
Oleh itu Shaharizukirnain turut melahirkan rasa kebimbangannya terhadap hakisan yang berlaku disekitar pantai Batu Rakit sekarang.
Sehubungan dengan itu, Pengerusi MPKK Bari Kecil Omar Abdul Rahman yang ditemui berkata, beliau turut gusar dengan apa yang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini terhadap hakisan pantai tersebut.
“Buat masa sekarang pokok Rhu yang Pejabat Hutan tanam kalau tidak silap saya sudah empat baris terhakis,satu wakaf awam dan satu lagi wakaf majlis daerah di kawasan ni semua dibawa oleh ombak.
“Insha Allah kita akan membincangkan perkara ini dalam mesyuarat jawatankuasa tindakan daerah Setiu yang akan diadakan dalam masa terdekat bagi kita menyelesaikan permasaalahan yang berlaku.” ujarnya.
Justeru itu beliau berkata, aduan akan dibuat ke Jabatan Parit dan Saliran (JPS) untuk membuat pemantauan di pantai berkenaan.
Turut hadir dalam lawatan ke hakisan pantai itu Pegawai Penyelaras DUN Permaisuri Ustaz Zul Bhari A Rahman dan ahli jawatankuasa MPKK Bari Kecil.