10 Buah Rumah Rosak Akibat Ribut
SETIU – Hujan dan ribut yang melanda Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi, menyebabkan 10 buah rumah di Kampung Tempinis, Bukit Tanah, Tasik Tok Lebai dan Pondok Paku mengalami kerosakan.
Pengerusi Majlis Tindakan DUN (MTD) Dr Azman Ibrahim berkata, beliau berada di Kuala Lumpur ketika kejadia berlaku,. kira-kira jam 10 malam Khamis.
“Kebetulan saya berada di Kuala Lumpur kerana menghadiri Mesyuarat Mingguan Exco yang diadakan di KL kerana MB perlu mengiringi KDYMM Tuanku Sultan menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja.
“(saya) Terus bergegas balik apabila dimaklumkan Jabi dilanda musibah ujian Allah. Pagi ini (Khamis) sempat menyantuni semua mangsa ribut dan tindakan pemulihan kerosakan rumah akan dilakukan segera.
“Terdapat rumah yang atapnya diterbangkan angin dan ada yang dihempap pokok tumbang,” ujar beliau ketika dihubungi.
Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah mengarahkan agar semua Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) untuk mengambil tindakan sewajarnya.
“Semoga semua mangsa ribut bersabar dengan ujian Allah dan Pusat Khidmat Adun Jabi akan bersama membantu,” tambah beliau.