NegeriTerengganu

Pengalaman Petik Strawberi Segar

KEMAMAN – Menikmati keindahan ladang teh seluas mata memandang serta memetik strawberi segar di Tanah Tinggi Cameron membreri pengalaman baru kepada muslimat PAS Dun Kemasik.

Ketua muslimat, Ustazah Narliati Lamshah berkata, tujuan jaulah ini adalah untuk menjalin ukhuwah disamping memberi semangat baharu kepada para muslimat di Dun Kemasik.

“Mereka telah lama berjuang dan masih kekal istiqamah dengan menimba ilmu dan mencari pengalaman, selain juga merai para muslimat atas jasa dan pengorbanan selama ini.

“Kejayaan mengadakan program jaulah sebegini, banyak mendapat sokongan dari Ahli Parlimen Kemaman dan Adun Kemasik sebagai penghargaan terima kasih mereka kepada muslimat.

“Program ini melibatkan hampir 80 orang muslimat, kita menyewa dua buah bas dan kita berlepas dari Kemasik pada 11.00 malam, pada hari Sabtu dan bertolak balik pada 07.00 petang pada Ahad, semalam,” kata beliau ketika ditemui pada pagi ini, di sini.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Muslimat PAS Dun Kemasik, Jariah Jusoh, 55, yang ikut serta dalam program tersebut ternyata begitu gembira apabila berpeluang pertama kali menjejakkan kaki ke Tanah Tinggi Cameron.

“Peluang memetik sendiri buah strawberi yang masak meranum, mencuba pelbagai makanan berasaskan strawberi yang sungguh enak seperti strawberi celup coklat, kek strawberi, aiskrim strawberi dan lain-lain lagi.

“Seronok dapat merasai strawberi segar dan berjus yang boleh dipetik sendiri terus dari ladangnya.

“Cuaca dan persekitaran yang sejuk dan nyaman menjadikan semua tumbuhan hidup subur di Tanah Tinggi Cameron, tidak hairanlah menjadi destinasi pilihan pelancong tempatan dan luar ke sana,” kata beliau yang mesra dengan panggilan Su Yah dan cukup gemar berkebun.

Program Jaulah Muslimat PAS Dun Kemasik ini mendapat kerjasama sepenuhnya dari Ahli Dewan Undangan Negeri Kemasik, Ir Saiful Azmi bin Suhaili dan Ahli Parlimen Kemaman, Ustaz Che Alias Abd Hamid.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️