NegeriTerengganu

Derita Pesakit Kronik SLE Dapat Perhatian PAS Kemasik

Oleh : Khalid Abdullah

KEMAMAN – Derita seorang anak gadis, pesakit kronik Sistemik Lupus Eritematosus (SLE) mendapat perhatian PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemasik hari ini.

Fatin Syamimi Mohd Anuar, 27, yang tinggal di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Kampung Baru Kertih, di sini, telah disahkan menghidap penyakit SLE sejak 2016 lagi.

“Penyakit ini menyebabkan semua sendi-sendi yang ada di badan menjadi sangat sakit, rambut pula gugur, tidak dapat berjalan kerana kaki bengkak, demam berpanjangan dan masalah kulit di badan yang bertukar menjadi ruam merah dan sangat gatal.

“Kadang-kadang tubuh menggigil secara tiba-tiba, sebelum muntah dan sampai tidak sedarkan diri.

“Penyakit SLE ini boleh menyebabkan mengalami masalah injap jantung, radang mata dan hempedu bengkak, selain paru-parunya sering mengecut.

“Saya terpaksa menangguhkan pengajian di Kolej Kejururawatan Alor Setar sehingga sembuh, sekarang ini berulang-alik ke Hospital Kemaman untuk mendapatkan rawatan,” ujar Fatin Syamimi.

Ketua Muslimat PAS DUN Kemasik, Ustazah Narliati Lamsah yang mengetuai rombongan ziarah pada petang tadi, 4 September. merakamkan rasa simpati dengan musibah yang dihadapi oleh pelajar tersebut.

“Nampaknya, keadaan kesihatan beliau merosot selepas berdepan dengan pelbagai komplikasi penyakit kronik tersebut sejak dua tahun lalu.

“Kita cukup bersimpati dan sangat mengharapkan agar pesakit ini kembali pulih dan dapat bergelar jururawat suatu hari nanti,” kata beliau.

Turut sama menyertai kunjungan ziarah berkenaan adalah isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ustazah Husna Abdul Rahman.

Systemic Lupus Erythematosus (SLE) adalah penyakit kronik auto-imun di mana badan pesakit menghasilkan protein darah dengan banyaknya.

Protin darah yang dipanggil antibodi ini dengan sendirinya memberi tindak balas terhadap tisu seseorang. Punca penyakit SLE tidak diketahui.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️