NegeriTerengganu

Karnival Dakwah Kikis Persepsi Negatif

KUALA NERUS – Karnival dakwah yang sedang berjalan di sini diharap dapat mengikis persepsi negatif masyarakat pada hari ini, khususnya golongan bukan Islam (non-muslim) yang kurang faham tentang Islam agama yang syumul.

Timbalan Pesuruhjaya II PAS Terengganu, YB Dr Alias Razak berkata, pemikiran salah itu dibentuk oleh musuh-musuh PAS sehingga tanpa mereka sedari, turut menyerang Islam itu sendiri.

“PAS bukan sahaja satu politik tetapi merupakan rantai gerakan Islam seluruh dunia yang mengambil tanggungjawab mengembangkan Islam ini, sejak daripada zaman Rasulullah SAW,

“Dan PAS mempunyai tiga asas tunggak perjuangan yang menjadi tanggungjawab utama, iaitu dakwah dan tarbiyah serta siasah (politik),

“Maka bagaimana mereka nak merosakkan imej kita dengan menyerang PAS (yang) tunggak atau rujukannya adalah Al-Quran, As-Sunnah, Ijmak dan Qias,” jelasya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Dakwah Kuala Nerus di Padang Bola Buluh Gading, Teluk Pasu, pada Khamis, 1 Februari.

Oleh itu katanya, menjadi tanggungjawab semua pihak, khususnya ahli dan penyokong, untuk menolak gejala negatif itu, yang sengaja dilakukan untuk menyerang PAS.

Menurutnya, suasana politik negara sekarang sentiasa ‘panas’ dan beliau menjangka, suhunya akan menjadi lebih tinggi menjelang pilihan raya umum akan datang.

Justeru itu, Timbalan Yang DiPertua Kuala Nerus itu berkata, PAS mengadakan Karnival secara besar-besaran bagi emberi penerangan kepada orang ramai.

“Oleh itu, PAS Kawasan (ini) mengambil satu pendekatan yang agak besar-besaran dalam satu program perjumpaan dengan masyarakat (dan) komuniti non-muslim,

“Kita pergi ke kampung mereka…….(kawasan) perumahan mereka untuk berjumpa dengan mereka (untuk) menjelaskan kepada komuniti ini, apa itu Islam yang sebenarnya,” tambah beliau.

Katanya, masyarakat Islam dilihat ‘tidak betul’ hari ini kerana ramai Melayu Islam yang terlibat dengan jenayah rasuah dan ditangkap oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah.

Namun menurutnya, PAS adalah sebuah parti yang berpegang dengan ajaran Islam sebenar dan tidak terlibat dengan perkara-perkara yang diharamkan oleh ajarannya.

“Parti Islam (PAS) mengharamkan rasuah dan tak benarkan minum arak serta pergaulan bebas. Islam juga tak membenarkan perzinaan,

“Baru tidak timbul konfliks dan tidak timbul salah faham antara agama. Kita juga mesti berubah dan ubah negara kita daripada terus diterajui oleh pemimpin yang mengamalkan amalan yang bercanggah dengan Islam,” tegasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️