Sedia Menerima Kemenangan
Oleh : Afini Yahaya
MARANG – Muslimat PAS Marang perlu bersedia dan melakukan persiapan jentera parti untuk menerima kemenangan negeri Terengganu khususnya pada Pilihan Raya Umum Kali Ke-14 (PRU14).
Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu, Hajah Zarani Othman berkata, gerak kerja kempen meraih undi bukanlah suatu tugas yang mudah.
Oleh itu, menurut beliau, penyampaian yang baik dan kekuatan diri para petugas kempen mestilah dibina dan diperkukuh, dari masa ke semasa.
“lebih-lebih lagi dalam situasi PRU14 akan diumumkan tempoh terdekat, tambahan pula, sasaran yang kita dekati ialah dari pelbagai latar belakang,
“Petugas kempen harus bijaksana dalam menyesuaikan keadaan dan menyampaikan sesuatu yang bermaklumat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan dalam Kursus Tenaga Kempen yang diadakan di Dewan Banat Darul Quran, Rusila pada Sabtu, 20 Januari 2018.
Justeru beliau berharap para peserta dapat mengambil peluang mempelajari teknik kempen dan sekaligus mempraktikkannya di medan sebenar.
“Sekiranya kita ikhlas dalam menyampaikan kebenaran, insya-Allah kerja buat kita akan dipermudahkan,” ujarnya.
Program anjuran Lajnah Penerangan Dewan Muslimat PAS Marang tersebut telah dihadiri oleh 170 orang lebih dalam kalangan petugas di semua peringkat di kawasan Marang.