PRU14; PAS Harap SPR Telus, Tegas
KUALA NERUS – PAS berharap, agar perjalanan pilihan raya kali ke-14 (PRU14) nanti nanti dilaksanakan secara telus dan cekap sebagaimana yang dipertegaskan oleh SPR.
Setiausaha PAS Kuala Nerus Ustaz Zakaria Dagang berkata, parti itu turut dijemput oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam program Taklimat Pendidikan Pengundi Dalam Kalangan Ahli-Ahli Politik Negeri Terengganu.
Beliau berkata, PAS menghantar lebih 600 peserta mewakili setiap kawasan Parlimen di negeri ini.
“PAS berjaya memenuhi kouta peserta yang ditetapkan oleh pihak SPR, iaitu seramai 80 orang bagi satu kawasan Parlimen,
“Peserta PAS paling ramai berbanding dengan peserta daripada Umno dan parti-parti dalam Pakatan Harapan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program tersebut yang diadakan di Stadium Tertutup Gong Badak dekat sini pada Sabtu 28 Oktober.
Beliau berkata, ia menandakan komitmen dan semangat yang tinggi para petugas PAS untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Menurutnya, taklimat yang disampaikan banyak membantu parti-parti politik untuk menyertai pilihan raya.
“Banyak kemusykilan dapat dijelaskan oleh SPR, khususnya Akademi Pilihan Raya yang mengendalikan program tersebut,” tambahnya.
Justeru itu beliau merakamkan penghargaan kepada SPR dan berharap ‘badan bebas’ itu, mengotakan segala kata-katanya sebagaimana dalam taklimat tersebut.
“Terima kasih kepada SPR atas program yang bermanfaat itu……dan kami harap SPR berbuat sebagaimana kata-kata yang diucapkan, telus dan cekap,
“pada pilihan raya umum yang akan datang,” tegasnya