Unit Kebersihan Pelengkap Kejayaan Fastaqim 2.0
KUALA NERUS – Di sebalik kejayaan Himpunan Fastakim 2.0 Hijau menuju kemenangan yang berakhir pada Sabtu lalu, Unit Kebersihan menjadi pelengkap sejarah yang terukir.
Seramai 300 orang petugas rasmi dan 100 orang sukarelawan telah menjadi jentera sejak hari pertama pada Jumaat 29 September.
Ketuanya Ustaz Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata, operasi pembersihan yang dijalankan telah berakhir pada petang Isnin 2 Oktober.
Katanya, kerja-kerja yang dilakukakan meliputi keseluruhan tapak program termasuk laluan utama dan sekitarnya serta tandas dan longkang masjid lama Tok Jembal.
Beliau berkata, ia tersumbat kerana digunakan oleh sebahagian peserta Fastaqim untuk membuang air ketika hendak menunaikan solat dan berehat, di situ
“kita tutup operasi kebersihan petang ini setelah kita dapati keadaan lokasi dan beberapa jalan utama ke tapak program ini betul-betul bersih malahan lebih bersih sebelum Fastaqim di adakan,
“terima kasih pada semua petugas, sukarelawan dan semua ahli PAS yang jua turut membantu unit ini untuk kerja-kerja akhir ‘ops’ ini,” katanya ketika di temui di tapak Fastaqim di pantai Tok Jembal.
Ustaz Shaharizukirnain, yang juga Yang DiPertua PAS Setiu berkata, sebanyak 17 tong besar telah di sewa dengan ‘RD Paper’ dan beberapa buah lori seberat satu tan juga digunakan untuk mengangkut sampah.
Disamping itu, kata beliau, lapan buah kenderaan pacuan empat roda digunakan sepanjang operasi pembersihan dijalankan semasa dan selepas program.
Sementara itu, seorang sukarelawan Rosli Abdul Ghani berkata, beliau menggunakan lori miliknya hampir sepuluh kali berulang alik, ke tempat pembuangan sampah.
“pagi ini sahaja sudah dua kali saya mengangkut sampah.” katanya dengan nada gembira dapat menyumbang tenaga dalam membantu membersihkan tapak program.
Justeru itu Ustaz Shaharizukirnain berharap agar kebersihan ‘Pantai Fastaqim’ itu dapat dikekalkan pada masa akan datang.
“kita harap selepas ini pengunjung dan pelancong yang hadir ke pantai Tok Jembal untuk bersantai dapat bersama sama menjaga kebersihan dan alam sekitar,
“sesuai dengan tuntutan Islam dan sempena tahun melawat Terengganu yang berlangsung tahun ini,” tegasnya.