Lepasan MDQ Harapan Ummah
Oleh : Afini Y
MARANG – Graduan Maahad Darul Quran (MDQ) Rusila diharapkan dapat menjadi generasi yang dapat menyumbang kepada ummah pada masa hadapan.
Pengerusi Lembaga Pengarah MDQ, Haji Yahaya Ali berkata, produk atau lepasan Ma’ahad Darul Quran (MDQ) hendaklah dapat mempertahankan akhlak dan sahsiah Islam di mana pun mereka berada.
“Lebih-lebih lagi dalam suasana sekolah-sekolah arus perdana menghadapi pelbagai masalah seperti ponteng sekolah, merokok, pergaduhan, pergaulan bebas, membuli, gengsterisme dan sebagainya.” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ihtifal dan ‘Idul ‘Ilmi MDQ kali ke-26.
Mengulas lanjut, beliau juga mengharapkan produk MDQ dapat memenuhi objektif utamanya iaitu bagi melahirkan ulama-ulama Islam yang berwibawa untuk memandu masyarakat berpegang teguh kepada ajaran Islam.
“Produk kita tidak boleh dikaitkan hanya untuk memenuhi pasaran pekerjaan terutama dalam sektor awam tetapi yang lebih penting dan diharapkan ialah untuk menjadi pelapis dan kader-kader parti samada sebagai pemimpin, aktivis dan murabitun parti.” tegasnya.
Majlis berlangsung meriah pada Jumaat, 8 Ogos di Dewan Tok Guru, Rusila dan dirasmikan oleh Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Ustaz Haji Husain Awang dengan egembiraan jelas terpancar pada wajah para graduan dan ibu bapa yang hadir.
Haji Yahaya Ali yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya III PAS Terengganu juga menyeru mereka yang keluar dari MDQ supaya mempunyai hubungan yang berterusan dengan MDQ untuk jangka masa panjang.
“Hubungan melalui Persatuan Alumni perlu wujud untuk menyumbang kepada insitusi pendidikan ini dalam pelbagai bentuk,” tambah beliau.