BPMS Bukan Hanya Bongkar
Oleh : Nooreni Abu Bakar
KUALA NERUS – Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) tidak menghalang PAS membongkar ‘kebobrokan’ kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu serta mencegah kemungkaran.
Bahkan menurut Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu, Hajah Zarani Othman, parti itu turut menyarankan penyelesaian dan jalan keluar kepada kebuntuan dan masalah yang dihadapi rakyat.
“Kita sebagai da’i untuk menyampaikan Islam dan bukan saja bongkar tapi kita PAS (ketika menjadi pembangkang),
“bila kita jadi kerajaan dengan sokongan daripada rakyat, kita ada manifesto iaitu penyelesaian,” jelasnya.
Belau berkata demikian ketika berucap pada program Lawatan Berinformasi Dewan Muslimat PAS Terengganu Siri Kedua, di Pusat Khidmat DUN Teluk Pasu di sini, khamis, 17 Ogos.
Beliau turut mengajak ahli dan penyokong PAS terutama Muslimat agar memberikan tumpuan dalam usaha memberi penerangan 15 Menifesto Awal yang telah dibentangkan kepada rakyat negeri ini.
Disamping itu katanya, Muslimat akan terus mendedahkan kelemahan, kekurangan, kerakusan, kezaliman yang dilakukan Umo-BN Terengganu.
Ketua Muslimat PAS Marang itu juga mendedahkan bahawa PAS yang memerintah Terengganu pada 1999 sehingga 2004 telah menangguhkan projek pembinaan stadium kerana merasakan ia bukan satu keperluan utama kepada penduduk.
Katanya, keadaan tanah di kawasan yang dicadangkan untuk tapak stadium tersebut juga didapati tidak sesuai.
“Tetapi projek itu diteruskan oleh kerajaan BN yang mengambil alih pemerintahaan pada 2004,
“dibina pada 2006 dan siap 2008, sebab nak guna sukan SUKMA pada 2008 siap secara tergesa-gesa,” tegasnya.
Beliau seterusnya menambah, stadium yang telah dirasmikan pada 10 Mei 2008 oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin itu, runtuh bumbungnya pada 2 Jun 2009.
Sementara itu, Ketua Penerangan Muslimat PAS Terengganu, Hajah Maznah Muftahuddin berkata gempur muslimat ke DUN MB, Dato’ Ahmad Razif Abdul Rahman adalah untuk menyedarkan rakyat yang menjadi mangsa kezaliman kerajaan Umno-BN.
“kita tak nak rakyat tertipu lagi dan teruja dengan pembangunan yang ada sedangkan pembangunan-pembangunan yang dibuat itu, rakyat menjadi mangsa kezaliman, ”ujar beliau lagi.
Menurutnya, Lawatan Berinformasi kali kedua itu meninjau isu-isu sekitar Kuala Nerus termasuk Kompleks ‘Gajah Putih’ Usahawan Terengganu dan ‘Stadium Runtuh’ selepas, peserta dibawa melawat ke projek-projek membazir di Tasik Kenyir, dua minggu lalu.