NegeriTerengganu

PAS Cakna Kepada Semua

SETIU – Sempena Himpunan Harapan Semua-PAS Ganti Umno (Harap-PGU) 3.7 pihak penganjur turut mengatur program Ziarah Pimpinan ke rumah al-Malak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Batu Rakit, Setiu.

Selepas solat Jumaat, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Husain Awang memulakan lawatan pertamanya ke rumah bekas Pemuda Umno Cawangan Kampung Darat Batu Rakit, Wan Mohd Zulkifli Wan Ali, 50.

Beliau mengimamkan solat hajat dan majlis tahlil di rumah Wan Zul serta beramah mesra selama hampir 40 minit.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS Ladang, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar dan Adun Barisan Nasional (BN), Bazlan Abd Rahman.

Lawatan ziarah diteruskan menyantuni seorang anak muda yang sakit terlantar sejak empat tahun lalu akibat kemalangan jalan raya ketika pulang dari kerjanya.

Mohd Hafiz Abdul Karim, 32, disahkan cacat kesan dari patah tulang teras serta rosak saraf tunjangnya.

Bekas pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) anak kelima dari 9 adik beradiknya melahirkan rasa terharu dan gembira dengan kehadiran pemimpin PAS itu.

“Saya redha apa yang ditakdirkan (kemalangan) ini dan tidak berputus asa dengan Allah SWT untuk kembali sembuh dengan izin-Nya, Insya’Allah.

“Saya ucap terima kasih dan rasa sangat gembira dengan kehadiran (pemimpin) PAS ini yang sudi melawat saya. Sakit ini kehendak Allah SWT,” ujarnya.

Beliau yang masih kuat ingatannya bercerita tentang suka-duka kisah yang dialaminya kepada Dato’ Husain dan Dato’ Tengku Hassan.

Mohd Hafiz kini masih tidak dapat menguruskan diri sendiri dan terpaksa dibantu oleh ahli keluarganya.

Program ziarah itu melibatan tujuh Unit Peti Undi (UPU) dalam Dun Batu Rakit antaranya UPU Mengabang Lekar, UPU Darat Batu Rakit, UPU Batu Rakit, UPU Maras, UPU Bukit Chempaka, UPU Bukit Wan dan UPU Padang Kemunting.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️