Kerajaan Gagal Jelaskan Mana Lebih Utama
KUALA TERENGGANU – Kerajaan Umno Terengganu gagal menjelaskan kepada Sidang DUN Terengganu soalan oleh Pesuruhjaya PAS Terengganu yang juga Adun Paka, YB Ustaz Satiful Bahari Mamat berkenaan keutamaan yang lebih utama diantara pendidikan atau dana hari raya.
Soalan tambahan Ustaz Satiful itu inginkan penjelasan berkenaan pengurangan peruntukan pendidikan tahun lalu daripada RM79 juta kepada RM40 juta tahun ini sehinggakan kerajaan tidak menawarkan penajaan kepada pelajar-pelajar cemerlang anak Terengganu.
Menurut beliau, kenyataan Exco yang lalu, YB Ghazali Taib menjelaskan, tiada tajaan untuk pelajar-pelajar ke luar negara pada 2016, tetapi dalam jawapan kepada soalan bertulis sidang kali ini, RM81 juta pula diberikan untuk dana hari raya.
Berdasarkan jawapan ini menyebabkan beliau mahukan penjelasan daripada Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi yang baharu dilantik, YB A Latiff Awang, yang manakah yang lebih utama diantara dua peruntukan ini.
Soalan lisan asal dikemukakan oleh wakil Air Putih, YB Wan Abdul Hakim Tan Sri Wan Mokhtar yang bertanyakan tentang isu pembayaran balik pinjaman pendidikan oleh pelajar-pelajar kepada kerajaan.
A Latiff teragak-agak dalam memberikan jawapan, tetapi akhirnya terpaksa mengaku bahawa kenyataan Exco Pendidikan yang lalu, adalah benar, iaitu tiada peruntukan tajaan kepada pelajar cemerlang anak Terengganu bagi tahun 2016.
Berikut adalah dialog diantara kedua mereka ketika bersoal jawab berkenaan tajaan itu
A Latiff: Tajaan untuk 2016 diteruskan kepada pelajar yang menerima tawaran, yang buat persediaan sebelum ni, mereka ini adalah terdiri daripada pelajar yang mendapat kecemerlangan tahun 2014, SPM lah dan juga 2015.
Ustaz Satiful: (Bangun) Yang saya Tanya ni jelas, 2016, bukan 2014.
A Latiff: Dengar orang jawab dulu, Laailahaillallah, duduk dulu.
Ustaz Satiful: Kaborlah (beri tahulah) takdok (tiada), takdok peruntukan.
A Latiff: Duduk dulu, kita…..tak ada (peruntukan tajaan). Haa betullah tu. Jadi….
Ustaz Satiful: Kabor Terengganu dok taja doh tahun ni, takdok duit, haa kabor begitu.
A Latiff: Jangan kata gitu takdok duit, ada cara lain tu…haa.
Namun soalan berkenaan keutamaan itu gagal di jawab oleh YB Abdul Latif Awang, yang mana kemudiannya Yang DiPertua Dewan, Dato’ Zubir Embong campurtangan, tidak membenarkan soalan itu dijawab dengan alasan sudah banyak soalan tambahan.
Mengulas isu itu, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, ada dua perkara yang mengelirukan iaitu perbezaan kenyataan berkenaan dana pendidikan yang dikatakan tiada untuk pelajar ke luar negara dengan jumlah rakyat miskin di Terengganu.
“Kerajaan mengatakan pada sidang dahulu bahawa jumlah rakyat miskin di Terengganu ialah seramai 30883 ribu lebih dan fakir pula seramai 4571 pada tahun 2015.
“Tetapi sekarang jumlah penerima bantuan dana raya ialah seramai 130 ribu orang lebih bagi kategori miskin.Manakala satu lagi perkara, kita lihat pilihan kerajaan Negeri yang tidak betul dengan menyalurkan dana raya yang begitu besar, sehingga sanggup mengenepikan kepentingan pendidikan anak-anak Terengganu yang cemerlang,” ujar beliau kesal.