MAPIT Anjur Forum Bincang Isu Berkait RUU 355
KUALA TERENGGANU – Rang UndangUndang (RUU) pindaan Akta 355 yang dibentangkan oleh Ahli Parlimen Marang, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Parlimen, baru-baru ini tidak wajar dipolemikkan.
Pengerusi Majlis Perunding Pelaksanaan Syariat Islam Terengganu (MAPIT)Dato’ Ustaz Husain Awang berkata, isu berkaitan timbul selepas ia dibentangkan.
Oleh itu menurutnya, MAPIT akan mengadakan program bagi menjelaskan perkara tersebut kepada masyarakat.
Justeru, pihaknya akan menganjurkan satu forum awam, khusus bagi membincangkan isu-isu yang berkaitan RUU terbabit.
“Forum ini akan memberi ulasan dan pandangan dari pelbagai pihak mengenai RUU Akta 355. Pada dua tahun yang lalu, kami (Mapit) pernah menganjurkan Seminar Hudud di sebuah hotel di negeri ini.
“Hari ini, kami (Mapit) bermesyuarat untuk membuat persiapan bagi menganjurkan satu forum besar atas isu Rang Undang-Undang bagi meminda Akta 355, selepas usul itu dibentangkan di Parlimen oleh Ahli Parlimen Marang dan yang menjadi polemik di kalangan orang ramai.
“Empat anggota panel iaitu Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco) Kelantan, Dato’ Dr Mohd Fadhli Hassan, Pensyarah dan Felo Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Dr Shamrahayu Abd Aziz, Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Dato’ Zainul Rijal dan Ahli Parlimen Setiu, Che Mohamad Zulkifli Jusoh,” jelasnya.
Ustaz Husain berkata demikian dalam satu sidang medianya di Pejabat Kelab Wartawan Media Terengganu (Kawat), Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu pada Khamis 4 Ogos.
Menurutnya, persoalan pokok yang menjadi tajuk perbincangan adalah mengenai isu “Akta 355: Wajarkah Dipinda?”Mantan Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) kerajaan PAS Terengganu itu menjelaskan, MAPIT adalah sebuah gabungan beberapa NGO Islam.
Katanya, kewujudan Majlis itu bertujuan bagi mengukuhkan kesedaran Islam di kalangan orang ramai serta menjadi perunding dan rujukan mana-mana pihak yang mahu memartabatkan Islam di Terengganu.
“Kami ini daripada Majlis Perunding Pelaksanaan Syariat Islam Terengganu (MAPIT), adalah sebuah gabungan NGOs Islam yang bertujuan untuk mengukuhkan kesedaran Islam di kalangan orang ramai.
“Dan dalam masa yang sama menjadi perunding atau pun rujukan kepada mana-mana pihak untuk memartabatkan Islam dalam negeri Terengganu ini.
“Mapit dianggotai oleh pelbagai jenis pertubuhan Islam yang bergabung antaranya Persatuan Ulamak Malaysia (PUM), Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma), Persatuan Isteri-isteri Wakil Rakyat dan Bekas Wakil Rakyat PAS Terengganu (Khairunnisa), Sukarelawan Pendidikan Rakyat (Kawan), Persatuan Peguam Muslim, Pasukan Cakna Ummah (Pacu) dan banyak lagi,” ujarnya.
Beliau turut memberitahu bantahan pihak tertentu terhadap RUU itu juga akan dibincangkan termasuk bantahan dibuat oleh Majlis Perunding Melayu (MPM) baru-baru ini bahawa ia tidak sah dan tidak berperlembagaan.
https://youtu.be/ZsiW8PAfE_w