Himpunan Penoreh dan Pesawah; Desak Kerajaan Beri Perhatian Serius
BESUT – Kejatuhan harga getah menyebabkan pendapatan para penoreh semakin hilang kuasa beli, ditambah lagi dengan kenaikan harga barang akibat GST menyebabkan golongan tersebut bertambah miskin.
Setiausaha PAS Kawasan Besut, Cikgu Shalahuddin Jaafar (Solah) berkata, pesawah padi mengalami nasib yang sama apabila kerajaan menswastakan BERNAS, menyebabkan penanam makanan ruji itu mengalami banyak kerugian.
“harga getah semasa adalah diantara RM1.80 hingga RM2.40, lebih mahal dari sekilo gula dan penoreh kini tidak mempu membeli sekampit beras dari hasil torehan mereka,
“BERNAS kini lebih mementingkan keuntungan, menyebabkan lambakan padi, padi lambat diangkut meyebabkan mutu berkurangan. Tambahan potongan lebih 25 peratus menyebabkan hasil bertambah sedikit,”ujarnya.
Katanya, subsidi pertanian juga diselewengkan oleh pembekal dengan memberikan input yang tidak bermutu menyebabkan hasil berkurangan.
Oleh itu, kata beliau satu Himpunan Penoreh Dan Pesawah akan diadakan pada 26 Mei ini, sebagai medan golongan ini meluahkan isihati mereka.
Menurutnya, Himpunan aman itu akan diadakan di Pasar Tani, Jerteh,dekat sini, bermula jam 9.00 pagi.
“ia adalah anjuran bersama NGO dan rakyat yang prihatin terutama dikalangan penoreh dan pesawah.
“PAS sebagai pemudahcara, bertujuan untuk mendesak kerajaan memberi perhatian serius terhadap nasib golongan tersebut,”jelasnya yang menambah Himpunan tersebut dijangka disertai oleh 500 penoreh dan pesawah.
Sehubungan itu, PAS juga melahirkan rasa kesal kerana isu-isu yang melanda sektor pertanian tidak diselesaikan dan dibiarkan berlarutan sekian lama.
“sebagai contoh isu harga getah ini bukan baru, tetapi sudah lama………… kerajaan perlu mengambil tindakan antaranya kena ada stok penimbal getah,
“iaitu kerajaan beli semasa harga murah dari para penoreh bagi menstabilkan harga getah yang mungkin boleh diletakkan harga lantai RM4.00 sekilo,”tegas beliau.