Bekas Pemain Sepak Takraw SUKMA Meninggal Dalam Nahas Jalanraya
SETIU – Tragedi kemalangan jalan raya di Kampung Padang Luas Jerteh kira-kira jam 1 pagi tadi telah mengorbankan seorang mangsa, Allahyarham Amir Zaidi, 32 tahun.
Motosikal yang ditunggangi Allahyarham Amir Zaidi telah melanggar bahagian belakang sebuah lori balak yang sedang diparkir di tepi jalan.
Allahyarham yang telah berumahtangga tetapi belum mempunyai cahayamata mengalami kecederaan parah di bahagian kepala meninggal dunia di tempat kejadian.
Amir Zaidi adalah merupakan bekas tekong pasukan sepak takraw SUKMA Terengganu yang berasal dari Kampung Gerong, Jabi. Allahyarham juga merupakan anak saudara kepada Sudin Awang, Penolong Setiausaha PAS Jabi yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa PAS Setiu.
Menurut bapa Allahyarham, Zaidi Awang (baju merah dalam gambar), beliau mendapat berita kemalangan yang menimpa anak sulongnya itu pada kira-kira jam 3 pagi tadi dan terus bergegas ke Hospital Besut untuk menguruskan jenazah anaknya.
Jenazah telah dibawa pulang ke rumah keluarga di Kampung Gerong untuk disemadikan selepas solat zohor hari ini.
Turut hadir menziarahi jenazah Allahyarham ialah Dr Azman Ibrahim, Pengarah Majlis Tindakan DUN Jabi yang merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham atas tragedi yang menimpa.
Semoga Allah mengurniakan kerahmatan dan keampunan kepada Allahyarham dan dikurniakan kesabaran kepada keluarga yang ditinggalkan.