“Terima Kasih Kepada Semua Pihak Yang Menyokong Kami”
KUALA TERENGGANU – Persatuan Kepolisan Komuniti Durian Burung (PKK DB) digerakkan melalui inisiatif Masjid Lama Durian Burung dan NGO GANTI, GASAK dan BANTU yang bernaung di bawah Badan Penggerak Demokrasi dan Mobilisasi Rakyat Terengganu, PAS Terengganu.
Pengerusinya Hj Ahmad Amzad Hashim berkata, uniknya inisiatif ini adalah menjadikan masjid dan surau sebagai pusat aktiviti dengan penekanan kepada pendekatan Islam dan pencegahan jenayah dalam menjadikan suasana kampung dan kejiranan aman dan sejahtera.
Beliau berkata, pengiktirafan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) kepada Persatuan tersebut merangsang semangat juang bukan sahaja kepada ahli-ahlimya, bahkan kepada semua anggota masyarakat dan ahli serta penyokong PAS yang turut membantu.
“8 orang Ahli PKK DB telah dijemput menghadiri Perhimpunan Bulanan PDRM Terengganu bertempat di Ibu Pejabat Kontinjen Terengganu, Kuala Terengganu untuk menerima penghargaan,
“Jemputan itu bagi menerima Surat Penghargaan PDRM yang disampaikan sendiri oleh YDH Datuk Ketua Polis Terengganu, DCP Dato’ Rosli,”ujarnya
Secara spesifiknya, kata beliau, penghargaan itu adalah di atas kejayaan tindakan proaktif PKK DB sehingga menyumbang kepada kejayaan membasmi gejala merempit di Kampung Durian Burung khususnya dan Kuala Terengganu amnya.
Amzad yang juga Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pusat berkata, setakat ini selama 7 bulan keamanan jalanraya dari kegiatan berkenaan berjaya dipertahankan.
“PKK DB telah dilancarkan secara rasmi oleh Timbalan Ketua Polis Terengganu, SAC Dato’ Hashim Abd Jalil di Masjid Lama Durian Burung dalam satu majlis yang gemilang pada 26hb November 2015.
“Sekalipun tidak pernah menerima sebarang bantuan kewangan, ahli PKK DB mengusahakan sendiri kewangan dengan berjaya melaksanakan pelbagai aktiviti rondaan, kawalan, pertandingan futsal, ‘barbeque’ kejiranan dengan bersandarkan kepada pendekatan Islam,”jelasnya
Menurutnya, mereka yang menerima surat penghargaan tersebut juga merupakan tenaga penggerak PAS di peringkat Kawasan Kuala Terengganu dan Cawangan Kampung Durian Burung.
Justeru beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menyokong dan memberikan semangat sehingga ia berjaya dan mengharapkan ia akan menjad model bagi usaha kemasyarakatan yang lain.