NegeriTerengganu

Ahmad Said Sedia Dipecat

KUALA TERENGGANU – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal, Dato’ Seri Ahmad Said berkata,beliau sedia menghadapi sebarang tindakan, walaupun menghadapi risiko dipecat, setelah mengemukakan satu usul undi tidak percaya kepada Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Usul tersebut dibawanya ketika mengambil bahagian dalam sesi perbahasan titah ucapan Tuanku Sultan Terengganu sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri (Dun) Ke-13, di Wisma Darul Iman, hari ini.

Ketika ditanya kemungkinan beliau bakal dikenakan tindakan tatatertib oleh lembaga disiplin parti (Umno) kerana ‘bersekongkol’ dengan PAS, Ahmad berkata terpulang kepada parti untuk mengambil tindakan terhadapnya tetapi tidak akan keluar dari Umno buat masa ini.

“Saya ahli Umno dan tak keluar Umno kecuali pecat saya, tak apalah. Saya (sekarang) masih kekal dengan BN, saya orang Umno.

“Saya sangat kecewa sebab keputusan dibuat tidak mengikut perlembagaan. Undang-undang tertinggi bagi sebuah negara adalah Perlembagaan Negara, Undang-undang tertinggi bagi sebuah negeri adalah Perlembagaan Negeri.

“Peraturan Dewan hanya diambil sebagai sebahagian dari undang-undang. Mana yang lebih tinggi, Perlembagaan atau Undang-undang Tubuh Negeri dengan Peraturan Dewan,” soalnya.

Sepatutnya, kata beliau, pemimpin Umno Terengganu tidak perlu bimbang dengan usul tersebut kerana kedudukkan kerusi Dun BN adalah 17 dan pembangkang 15 kerusi sahaja.

“Di Terengganu ini kita (kedudukkan) 17-15 kerusi Dun antara kerajaan (BN) dan pembangkang (PAS-PKR).“Jika buat macam hari ini, berlaku krisis perlembagaan mungkin saya marah, mungkin cara lain saya buat. Sebab jika berlaku undi hari ini kita kalah, ok kita terima.

“Kalau MB kalah tukar MB. Itu tidak ada masalah dan BN boleh memerintah lagi sebab ada 17 kerusi Dun. Tidak semestinya PAS memerintah dan terpulang kepada Tuanku (Sultan). Jika Tuanku berkenan orang PAS, itu hak Tuanku,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️