Jalin Kerjasama Bagi Menegakkan Islam Di Malaysia dan Seluruh Dunia
KUALA NERUS – Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sekali lagi menegaskan, PAS tidak bergabung dengan Umno, sebaliknya hanya bekerjasama dalam perkara untuk menegakkan syiar Islam.
Beliau berkata, adalah tidak salah sekiranya PAS mengambil pendirian untuk bekerjasama dengan parti lawan asalkan pihak berkenaan bersedia untuk menerima pandangan bagi kepentingan rakyat serta umat Islam di negara ini.
“PAS mempunyai hak untuk menjalin kerjasama dengan sesiapa sahaja atau mana-mana parti politik termasuk Umno kerana apa yang jelas kerjasama yang ingin dilakukan itu memberi faedah kepada seluruh umat Islam di negara ini dan jalinan bukan atas kepentingan politik.
“PAS melakukan lonjakan paradigm itu (jalin kerjasama dengan mana-mana pihak demi kepentingan umat Islam) untuk mendapatkan sokongan yang lebih ramai..takkan kita hendak tumpu pada sokongan yang sedia ada semata-mata..kita perlu tambahkan lagi (peroleh lebih banyak sokongan),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada program Nadwah Ulama 2016: Politik Terkini dan Halatuju Pas di Kompleks Tarbiyah At-Taqwa (KOMTAQ), Batu Enam, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pesuruhjaya PAS Terengganu Ustaz Satiful Bahri Mamat, Ketua Dewan Ulama PAS negeri Datuk Hussin Awang, dan Ketua Penerangan PAS negeri Ustaz Mohd Nor Hamzah.
Selaku Naib Ketua Kesatuan Ulamak Sedunia Ustaz Abdul Hadi berkata, beliau pernah mewakili umat Islam di negara ini suatu ketika dahulu untuk menjadi orang tengah dalam usaha menyelesaikan konflik di Yaman.
“Pada waktu itu kerajaan Malaysia menerusi Wisma Putra mengarahkan pihak kedutaan kita di sana (Yaman) membantu saya secara diplomatik untuk menjadi pendamai dalam konflik tersebut.
“Dengan urusan diplomatik itu, saya telah berjumpa dengan para pemimpin puak-puak yang bertelagah yang akhirnya berjaya mencari jalan perdamaian. Maknanya pada masa itu kita (PAS) telah jalin kerjasama dengan kerajaan khususnya UMNO,” katanya.