NegeriTerengganu

Ambang 2016; PAS Dekati Anak Muda

Oleh : El-Azry

MARANG – Buat julung kalinya, Pemuda PAS Dun Bukit Payung mengadakan pertemuan khas ‘Malam Sembang Pemuda’ bersama pemuda di Kompeks Maahad Darul Iman (MDI) Titian Baru, Kedai Buloh disini semalam sebagai pembuka tirai tahun baru 2016.

Sembang santai yang dihadiri seramai lebih kurang 200 orang pemuda dari kawasan sekitar itu disempurnakan oleh 3 panel penyampai antaranya Tuan Haji Abdul Haris bin Malik, timbalan pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Bukit Payung, Ustaz Ahmad Buniyamin bin Razimi selaku Ketua Penyelaras Pemuda Dun Bukit Payung dan Ustaz Latif bin Hanafi, AJK Tarbiyah Pemuda Dun Bukit Payung.

Dalam ucapan santai itu, Ustaz Ahmad Buniyamin berkata, “Pemuda-pemuda Islam haruslah berfikiran positif dalam melakukan sesuatu perubahan. Ambillah ibrah tahun baru yang bakal tiba sebagai langkah perubahan ke arah kebaikan.

Sama-samalah kita mencontohi Rasulullah SAW dalam konsep hijrah baginda yang sentiasa mengajak para sahabat ke arah kebaikan disamping mencegah kemungkaran. Elakkan sama sekali ikutan hawa nafsu dan hasutan syaitan kerana ianya adalah penghalang utama perubahan ke arah kebaikan”, ujar beliau.

Tambah beliau lagi, matlamat utama program ini diadakan adalah untuk mengeratkan lagi hubungan sesama pemuda-pemuda bagi memastikan kelancaran gerak kerja Islam disamping dapat berkenalan antara satu sama lain.

Dalam pada itu, mereka yang hadir turut dimeriahkan dengan jamuan istimewa percuma BBQ dan persembahan khas daripada kumpulan cilik ‘Warisan Busker’ yang membawakan lagu-lagu ketuhanan disamping turut diadakan pertandingan ‘timang bola’ dan ‘skor gol’ yang mana juga disediakan hadiah-hadiah istimewa bagi setiap pemenang.

Turut hadir, ADUN Bukit Payong Ustaz Mohd Nor bin Hamzah, bagi meraikan pemenang-pemenang hadiah pertandingan dan cabutan bertuah.

“Saya ucapkan tahniah dan syabas kepada Pemuda Dun Bukit Payung atas penganjuran program ini. Saya berharap dengan adanya program sebegini, Pemuda Dun dan Pemuda Cawangan dapat sama-sama membantu dalam menjayakannya lagi.

Alhamdulillah, kita berjaya adakan program ini dan kita berharap agar dapat menarik lebih ramai pengundi-pengundi daripada kalangan pemuda untuk bersama-sama kita kelak”, ucap beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️