Anak-nak Kampung Jabi Juga Mampu Berjaya
SETIU – Anak-anak yang mengikuti ‘Kem Bina’ anjuran Pemuda PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi dididik supaya menetapkan matlamat menjadi hamba, yang sentiasa menjaga hubungan dengan Allah.
Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Jabi berkata, sekiranya kita menjaga tiga perkara menjadi ‘hubungan’ dengan Allah, maka Allah akan menjaga kita.
“Yang pertama, sembahyang jangan tinggal. Yang kedua, sembahyang mesti diawal waktu dengan berjemaah. Yang ketiga, Quran mesti baca paling kurang 1 muka sehari. Pegang apa yang dipesan ni sungguh-sungguh,
“Beberapa hari lagi sekolah dah nak buka. Baju, seluar, kasut, beg dan alat tulis baru semua kita dah sedia. Tinggal lagi kita kena sedia dengan azam dan semangat baru untuk belajar,”ujarnya ketika menyampaikan ucapan pada Kem tersebut yang berlangsung selama dua hari, 27 dan 28 Disember.
Beliau menegaskan, anak-anak kampung, seperti anak-anak penduduk Jabi berhak dan mampu untuk berjaya seperti orang lain, dengan syarat perlu kuat semangat untuk kita ubah nasib diri, keluarga dan masyarakat.
Kem Bina 1.0 adalah kem siri pertama bagi meningkatkan pembinaan akhlak, syakhsiah serta motivasi pelajar di bawah kendalian Pemuda PAS Jabi yang julung kalinya diadakan di Lata Belatan, dekat sini.
Menurut beliau, ia akan dijadikan acara tahunan dalam kalendar Pemuda PAS Jabi setiap kali menjelang cuti sekolah.
“Alhamdulillah, penyertaan yang menggalakkan kira-kira 80 peserta yang berumur antara 7 – 16 tahun dari kalangan anak-anak Jabi hadir,
“dengan pengendalian kem dibantu oleh tenaga fasilitator dari beberapa institusi pengajian tinggi,”ujarnya ketika ditemui.
Sebahagian dari peserta, kata beliau, adalah anak-anak yang sebelum ini turut sama menyertai program berkhatan beramai-ramai anjuran PAS Jabi.
Sebahagian mereka juga, tambah beliau, merupakan anak-anak yang menerima agihan uniform sekolah percuma sumbangan PAS Jabi dalam program yang diadakan sebelum ini.
“Beginilah kita cuba membentuk kesinambungan berterusan kepada setiap program yang diadakan,”ujarnya lagi