NegeriTerengganu

Beza Anak Muda Palestin dan Malaysia

MARANG – Anak-anak di muda Palestin hidup mereka dikorbankan untuk agama, keluarga dan tanahair mereka yang mereka ketahui akan akibatnya iaitu mati diusia muda kerana mereka tahu erti pengorbanan.

Berbeza dengan anak-anak muda kita terutama di Malaysia ini, hidup mereka jauh dari agama dan sentiasa hanyut dengan berbagai-bagai hiburan samada hiburan yang disediakan atau yang direka sendiri.

Begitulah penegasan yang diberikan oleh pendakwah bebas yang mewakili Muslim Care, Dr Riduan Mohd Noor, dalam satu forum yang diberi nama Airmata Palestin di Masjid Titian Baru, Kedai Buluh baru-baru ini.

Beliau seterusnya mendedahkan lagi situasi di Palestin, dimana, rata-rata yang berjihad ialah mereka dari kalangan anak-anak muda yang tidak takut menghadapi Israel yang mempunyai kelengkapan yang canggih itu.

“Rasulullah ajar dan latih anak-anak muda dizaman baginda untuk berjihad di jalan Allah.

Anak-anak muda kita jauh dari agama, sebaliknya di Palestin, anak-anak muda mereka keluar berjuang,” tegas beliau di hadapan kira-kira 150 orang jemaah masjid itu.

Bagi beliau, ilmu adalah sangat penting bagi anak-anak muda ini menghadapi musuh-musuh mereka dan menggalakkan supaya solat berjemaah dan majlis-majlis ilmu dihadiri oleh orang muda.

Manakala sebelum itu, pasangan penceramah kepada Dr Riduan, Dr Ahmed Ayesh an-Najar, Duta Kerajaan Palestin, turut menggariskan beberapa cadangan bagi membantu Palestin mengalahkan Israel.

Antara isi penting ucapan beliau yang diterjemahkan oleh Dr Riduan ialah, Palestin mengharapkan bantuan dari orang-orang Islam dengan cara yang termampu oleh mereka.

Bantuan ini menurut beliau ialah selari dengan ayat al-Quran dalam surah al-Hujuraat iaitu “Sesungguhnya orang beriman itu bersaudara”, dan semestinya jika saudara mereka terkena musibah, mereka akan membantu.

Tambah beliau lagi, zionis mempunyai tabung khas di dalam rumah mereka bagi tabungan untuk membantu sesama mereka, menunjukkan kesungguhan mereka untuk membantu jika kalangan mereka terkena musibah.

Sepatutnya pada pandangan beliau, orang Islam juga mesti melakukan perkara yang sama bagi memudahkan bantuan diberikan ketika berlaku sesuatu yang tidak diduga.

Mengakhir ucapannya beliau meminta agar bantuan yang paling cepat dan berkesan iaitu doa daripada semua pihak untuk Syria, kerana menurut beliau, situasi di Syria sekarang ini jauh lebih teruk berbanding Palestin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️