NegeriTerengganu

PAS Khuatir Pulau Bebas Cukai Gagal Gagal Seperti Pulau Burung

KUALA TERENGGANU – PAS melahirkan rasa kebimbangan dengan penerusan projek Zon Bebas Cukai Pulau Bayas bakal mengalami kegagalan senasib dengan Pulau atau Taman Burung di tasik Kenyir.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim berkata Bajet 2016 Terengganu telah memperuntukkan sejumlah RM140 juta bagi meneruskan pembangunan projek di Tasik Kenyir.

Katanya, mengikut rekod jawapan kerajaan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang lalu 65 peratus siap.

Menurutnya, enam pakej di Pulau Bayas melibatkan projek Zon Bebas Cukai dan enam pakej di Pulau Gawi.

“Pembangunan Tasik Kenyir yang kini mendapat tambah kos RM140 juta. Zon Bebas Cukai di Pulau Bayas dalam rekod yang telah diberikan jawapan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu yang lalu, 65 peratus telah selesai dengan enam pakej untuk Pulau Bayas dan lima pakej untuk Pulau Gawi.

“Saya bimbang Zon Bebas Cukai di Pulau Bayas akan menjadi nasib yang sama seperti Taman Burung, yang telah membelanjakan RM5.5 juta. Satu kos yang agak besar tetapi hari ini operasinya telah ditutup di Tasik Kenyir,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Bajet 2016 yang telah dibentangkan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga, Sidang Dun Terengganu ke-13, di Wisma Darul Iman, pada Rabu 2 Disember.

Adun Tepoh itu turut mempersoalkan adakah kerajaan negeri atau kerajaan pusat yang membiayai pembangunan Zon Bebas Cukai tersebut.

Ini kerana, kata beliau pembangunan projek Zon Bebas Cukai itu sepatutnya dibiayai oleh kerajaan persekutuan.Ustaz Hishamuddin mendakwa secara keseluruhan kerajaan negeri telah membelanjakan kira-kira RM300 juta bagi membangunkan kawasan bebas cukai yang berkonsep ‘factory outlet’ itu.

Setakat ini kos yang diperuntukkan bagi projek Taman Burung ialah RM5.5 juta, Taman Orkid (RM7.085 juta), Taman Rama-Rama (RM7.399 juta) dan Taman Tropika (RM7.399 juta).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️