NegeriTerengganu

Banjir; PAS Kampung Laut Proaktif

KUALA TERENGGANU – Tindakan proaktif yang diambil oleh beberapa ahli PAS Cawangan Kampung Laut bagi mencegah banjir di sekitar kawasan Kampung Laut, Belukar Jambu dan sekitarnya adalah satu contoh terpuji khidmat mereka kepada masyarakat.

Dengan kekuatan seramai 10 orang, mereka telah mengumpul duit sebanyak RM600 dari poket mereka sendiri dan juga dari sumbangan ahli-ahli lain untuk menyewa jengkaut, bagi melaksanakan kerja kebajikan mereka.

Selain daripada jengkaut itu, mereka juga menggunakan tenaga mereka sendiri bagi membersihkan alur yang banyak tersekat alirannya kerana daun-daun dan tunggul-tunggul yang ada.

Menurut ketua cawangan, Haji Abdullah Ismail, khidmat ini adalah bagi mengurangkan risiko banjir yang lebih besar berlaku bila hujan lebat, sekiranya sampah-sampah itu tidak dikeluarkan sekarang daripada alur itu.

Tambah beliau lagi, alur sepanjang kira-kira 100 meter itu boleh memberikan kesan buruk ketika banjir kepada penduduk berdekatan jika tidak diselenggarakan dengan segera.

“Kita tengok banyak sangat tunggul-tunggul dan bermacam-macam jenis benda yang halang laluan air di alur ini.

Laluan ini kata beliau, datang dari arah Kampung Surau Haji Daud dan Surau Panjang sebelum masuk ke Sungai Ibai.

Alhamdulillah tidak ada banyak sangat sampah-sampah buangan manusia, cuma yang ada hanya daripada pokok, semulajadi,” kata beliau.

Program yang kali kedua diadakan oleh mereka ini, mendapat perhatian dan pujian daripada Wakil Rakyat Bukit Payong, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah.

Beliau berharap sikap terpuji ahli-ahli PAS Cawangan Kampung Laut ini, dicontohi pula oleh semua orang orang tanpa mengira fahaman politik mereka, kerana kebersihan dan kebajikan adalah perkara yang baik untuk diamalkan semua.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️