Bengkel KAMI Pupuk Minat, Kemahiran Dunia Media Dan Penulisan
Oleh : Azizah Mahmood
KUALA TERENGGANU – Media dan penulisan bukan satu aliran semakin mencabar dalam industri penerbitan dan penyiaran, yang semakin berkembang dengan teknologi maklumat masa kini.
Bidang yang menyentuh naluri anak muda mahupun mereka yang dewasa itu, adalah kemahiran yang perlu kepada minat yang beupaya dipupuk dengan pendedahan.
Justeru itu, Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) tampil dengan langkah optimis bagi merancakkan kreativiti dalam dunia tersebut.
Setiausahanya, Khairul Azlam Mohamad yakin, usaha NGO itu dapat mencungkil generasi baru aktivis media dan penulisan pada masa depan.
“KAMI mengharapkan usaha kecil ini merupakan perintis untuk kita terus mencungkil bakat bakat-bakat baru dalam bidang media dan penulisan kreatif,
“yang sekurang-kurangnya dapat membimbing mereka dengan panduan dan pengalaman dari penulis-penulis ‘segar’ yang berbakat,”ujarnya.
Beliau selaku Pengarah Bengkel Media dan Penulisan Siri 1 berkata demikian ketika ditemui pada program tersebut di Dewan Telipok Muzium Negeri Terengganu pada Sabtu 2 Oktober.
Bengkel itu pada kali ini telah mengundang seorang penulis Muda Fatin Nur Izatti bin Nazmi, berusia 21 tahun dan masih menuntut di sebuah universiti di negara Jordan.
Program separuh hari itu padat dengan pendedahan dan ‘pencerahan’ oleh Fatin khususnya tentang pengalaman beliau menghasilkan karya pertamanya yang bertajuk ‘Mahar Sebuah Syurga’.
Buku tersebut yang diterbitkan oleh Karangkraf telah dilancarkan pada pertengahan September lalu.
“Tidak pandai, tidak biasa dan kurang mahir boleh menjadi sebaliknya, jika ada minat yang tinggi untuk menghasilkan tulisan-tulisan yang berbentuk novel,
“berita dan sebagainya (dengan syarat) jika kita rajin mencari ilmu yang terdapat dalam berbagai bentuk media kini, dan mengikuti bengkel-bengkel seperti ini,”jelas Fatin.
Seramai 30 orang peserta rata-rata dikalangan remaja dan anak muda hadir menjadi peserta bengkel tersebut.
Seorang dari mereka yang sempat di temui, Sayyidah Nafisah Mohd Nor, 19, berharap agar bengkel seumpama itu diadakan lagi pada masa akan datang.
“bengkel ini amat bagus dalam memberi pendedahan pada orang muda macam saya dan harap boleh di sambung lagi pada siri akan datang,”ujar beliau penuh semangat.