Kempen Anti Rempit Malam Eidul Adha Ulangi Kejayaan Diambang Merdeka
KUALA TERENGGANU – Kempen Anti Rempit (KARMA 2) kali ini lebih kepada operasi lanjutan, ekoran kempen yang pertama yang telah diadakan dengan jayanya pada malam ambang merdeka yang lalu.
Menurut Presiden Gerakan Anak Terengganu Insaf (GANTI) berjaya menghalang aktiviti rempit bukan sahaja di Durian Burung, bahkan termasuklah kampung-kampung sepanjang Jalan Kelantan yang berdekatan.
“Sudah lebih 3 bulan tiada aktiviti rempit di Jalan Kelantan ini sejak orang kampung memulakan inisiatif kempen, yang kemudiannya disambung oleh KARMA 1 dengan kerjasama PKK RCJT, GANTI, GASAK, BANTU dan penduduk kampung.
“Kami tidak mahu usaha yang telah dibuat sekadar hangat-hangat tahi ayam. GANTI amat berharap usaha ini diikuti oleh kampung-kampung atau taman-taman perumahan di tempat lain bagi membantu PDRM membasmi jenayah,”ujarnya
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada jam 3 pagi hari ini, 24 September, selepas operasi KARMA2 selesai.
Beliau mengucapkan terima kasih atas kerjasama dan pujian yang telah diberikan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tidak dilupakan kepada masyarakat setempat.
“atas usaha yang dilakukan kita mengucapkan terima kasih kepada pihak PDRM dan masyarakat setempat dan kita berhasrat sebagaimana pihak PDRM untuk sama melihat kenyataan tertubuhnya PKK yang aktif di tempat-tempat lain juga.
“Kami dimaklumkan oleh pihak PDRM bahawa kegiatan merempit sudah tiada, bukan sahaja di Durian Burung sahaja bahkan di sekitar daerah Kuala Terengganu termasuklah lokasi-lokasi biasa seperti Kuala Ibai dan Padang Midin,”jelasnya
Beliau berharap, bukan sahaja aktiviti merempit dapat dibasmi, bahkan jenayah-jenayah lain juga seperti kecurian, pengedaran dadah dan seumpamanya dapat dibanteras.
Katanya, ia diakui oleh Inspektor Zainon, yang mengesahkan kadar jenayah di sekitar mukim Chabang Tiga berkurangan semenjak pelancaran PKK Durian Burung.
Sehubungan itu, Ketua Penerangan PAS Kuala Terengganu Haji Ahmad Amzad Hashim, operasi membanteras aktiviti rempit semalam adalah usahasama Kepolisan Komuniti Kampung Durian Burung, GASAK, GANTI dengan kerjasama PDRM dengan dibantu sebilangan kenderaan 4WD.
“Tuan Inspektor Zainon dari IPK Terengganu dan Sarjan Nasir OCS Balai Chabang Tiga telah berucap memberi taklimat, nasihat dan panduan kepada lebih 30 peserta yang lengkap memakai vest.
“Dalam taklimatnya beliau sempat memaklumkan kepentingan masyarakat bekerjasama dengan Polis bagi menjaga keamanan dan pencegahan jenayah,”ujarnya yang turut hadir pada program tersebut.
Selain itu, beliau berkata, ia turut mendapat sambutan di kalangan bukan Melayu bukan Islam apabila program tersebut turut dihadiri Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Dr. Bala Chandran G.K.
“turut hadir ke Surau Al Ikhlas (Masjid Lama) Durian Burung adalah Dr Bala…………kehadiran beliau adalah simbol kebersamaan rakyat berbilang bangsa,
“dalam memupuk kerjasama dan muafakat dalam membina Malaysia Sejahtera sesuai dengan sambutan Hari Malaysia yang baru berlalu,”katanya.
Haji Amzad yang juga Penyelaras Parlimen PAS Kuala Terengganu berharap kejayaan akan dapat dicapai pada setiap kali operasi KARMA dan menempa kecemerlangan serta dapat menambah bilangan sukarelawan bagi membantu menjayakan keamanan kampung kita semua.
“Rakyat berterima kasih kerana masih ada jiwa patriot sejati di kalangan masyarakat kita yang sedia mengorbankan malam raya Aidil Adha kerana menjaga keamanan kita semua,”tambah beliau.