Bantahan Rakyat Benar; Jalan Sehala Kembali Menjadi Dua Hala
KUALA TERENGGANU – Pada 9 Mei 2011, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) telah melaksanakan sistem jalan sehala dari persimpangan Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin Ladang (SMASZAL) hingga ke persimpangan Balai Bomba Jalan Kota.
Sistem berkenaan dilaksanakan kerana ‘kononnya’ mengurangkan kesesakan lalulintas di sekitar Bandaraya Kuala Terengganu.
Namun, pendapat dari orang ramai telah diutarakan menegaskan, bahawa sistem ini adalah satu lagi kegagalan dalam perancangan bandar.
100 penduduk termasuk pemilik premis perniagaan disepanjang jalan di Jalan Sultan Zainal Abidin di Kampung Tanjung telah membantah perlaksanaan sistem jalan sehala itu. [gambar kanan]
Mereka membantah tindakan kerajaan khususnya Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) yang mengubah laluan dua hala di Jalan tersebut.
Memorandum bantahan telah diserahkan kepada MBKT, menyatakan rasa tidak puas hati mereka dan mendesak supaya MBKT mengembalikan semula laluan dua keatas jalan terbabit.
Sebaliknya, Dato’ Seri Ahmad Said yang menjadi Menteri Besar ketika itu, bukan sahaja tidak mahu menerima bantahan tersebut malah telah menyelar tindakan penduduk dan pemiaga.
Menurut laporan sebuah akhbar harian, seorang wakil penduduk, How Kok Kong, 67, ia bukan jalan sibuk seperti yang didakwa Ahmad.
Bahkan, penukaran jalan tersebut kepada ‘satu hala’ menyebabkan penduduk terpaksa mengambil jalan lebih jauh untuk menghantar anak ke sekolah selain memberi kesan kepada peniaga.
Seorang lagi penduduk dan peniaga kedai runcit, Goh Bee Ai, 34, pula mendakwa sejak jalan itu dijadikan laluan sehala, ia menjadi gelanggang baru kepada mat rempit berlumba motosikal dan lumba kereta terutama pada malam Jumaat, sehingga mengganggu ketenteraman penduduk.
Namun kini ternyata, apa yang disuarakan oleh penduduk terbabit, yang mewakili rakyat negeri Terengganu adalah benar!
Setelah lebih tiga tahun perlaksanaannya, jalan sehala yang dipertahankan perlaksanaannya oleh kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu itu kini telah kembali menjadi jalan dua hala.