Anak Muda Diseru Beramai-ramai Menyertai ‘Himpunan Istiqamah Hingga Kemenangan’
KUALA TERENGGANU – Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) menyeru seluruh anak-anak muda samada ahli dan penyokong PAS agar beramai-ramai menghadirkan diri kepada program ‘Himpunan Istiqamah Hingga Kemenangan’ yang diadakan bermula jam 5.30 hingga 11.50 malam ini.
Ketua Penerangan DPPNT Ustaz Hilmi Dato’ Harun berkata, Himpunan yang dianjurkan oleh PAS Pusat itu adalah sangat besar ertinya.
“Saya menyeru anak-anak muda, pendokong dan penyokong PAS semua peringkat untuk hadir beramai-ramai ke ceramah mega “Himpunan Istiqamah Hingga Kemenangan” di Rusila, Marang bermula jam 5:30 petang ini (16hb Jun 2015).
“Sesungguhnya kehadiran kita semua ke Himpunan ini sangat besar ertinya kepada Perjuangan Islam yang mutakhir ini menuntut kesepaduan seluruh pencintanya,”ujar beliau.
Hilmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir berkata, ia adalah penting bagi menetapkan niat dan matlamat kepada para pemuda yang cintakan Islam, dalam usaha PAS Terengganu kembali memerintah ‘Wisma Darul Iman’.
“sebagaimana yang diucapkan oleh Pesuruhjaya PAS Ustaz Satiful Bahri Mamat, ia adalah termasuk dalam usaha merealisasikan hasrat PAS Terengganu untuk kembali ke Wisma Darul Iman bagi melaksanakan amanah menegakkan kerajaan yang melaksanakan syariah Allah SWT.
“Marilah kita sama-sama berpadu dalam Himpunan ini dengan satu niat dan matlamat “Beristiqamah hingga Kemenangan, memberikan komitmen, masa, tenaga dan wang ringgit, bagi merancakkan lagi usaha dan kerja kita semua untuk menobatkan Islam yang memerintah dan PAS menjadi ‘Harapan Untuk Semua’ dalam melaksanakan ‘Roadmap’ kita ke Wisma Darul Iman pada Pilihan Raya Umum Kali Ke-14 akan datang.”jelas beliau