Slogan TTB Razif Sia-sia Sekiranya Masalah Asas Bekalan Air Tak Selesai
Oleh : Azizah Mahmood
KUALA TERENGGANU – Dewan Pemuda PAS Kuala Terengganu (DPPKT) telah mengambil langkah untuk bertemu dengan pihak pengurusan Syarikat Air Terengganu (SATU) bagi menyampaikan aduan pengguna berkaitan perkhidmatan bekalan air yang tidak memuaskan.
Menurut Ketuanya, Mohd Azrin Aris, Ketua Pegawai Eksekutif, Ir Haji Atemin Sulong bersama orang pegawai eksekutif meluangkan masa lebih sejam bertemu rombongan DPPNT.
“Hasil pertemuan, boleh disimpulkan bahawa pihak SATU mengakui sesetengah kawasan yang padat kependudukan seperti jajaran Losong – Paloh – Manir sering mengalami gangguan bekalan air iaitu air bertekanan rendah.
“Ia lebih kritikal terutama tiba musim cuti persekolah dan cuti umum yang mana penggunaan air meningkat mendadak,” ujar selepas pertemuan tersebut yang diadakan di Bilik Mesyuarat, Pejabat Pengurusan SATU pada Isnin, 14 Jun.
Azrin berkata, pihak SATU juga mendakwa, keadaan tersebut bertambah buruk apabila berlaku peningkatan penggunaan air disebabkan kepesatan pembangunan yang sedang berlaku di Kuala Terengganu.
“Masalah ini (juga menurut SATU) berpunca daripada kebolehupayaan loji yang sedia ada untuk menyalurkan bekalan air kepada jumlah pengguna yang amat tinggi.
“(SATU) Mengambil contoh loji di Kepong yang perlu menyalurkan bekalan hingga ke Gong Badak dan juga daerah Marang,”jelas Azrin.
Walau bagaimanapun, beliau amat positif bahawa SATU mampu menyelesaikan permasalahan perkhidmatan bekalan air yang melanda, khususnya jika pembinaan loji baharu dapat disegerakan.
“usaha ini perlu disokong oleh semua pihak. Oleh yang demikian, kami menggesa pihak Kerajaan Negeri mempercepatkan proses pembinaan loji pemprosesan bekalan air yang baharu bagi menyelesaikan masalah ini dan bagi menghadapi pertambahan pengguna pada masa akan datang,”tegasnya.
Sekiranya tiada sebarang tindakan, beliau menekankan bahawa slogan ‘Transformasi Terengganu Baru (TTB)’ yang dilaungkan oleh Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman saban hari ini tidak akan bermakna.
“jika isu (kemudahan paling asas) bekalan air yang menjadi keperluan rakyat (tidak selesai) dan dibiarkan berlarutan dari tahun ke tahun.,
“Sia-sia sahaja MB menggagaskan TTB, tidak ada apa-apa makna langsung,
“Kami berharap isu ini dapat diselesaikan dengan berhikmah kerana air merupakan asas kepada kehidupan manusia,”kata beliau
Azrin menggesa agar pemuda PAS khususnya dan semua pihak prihatin dan melaporkan segera sebarang masalah kebocoran paip kepada pihak SATU, kerana ia akan dapat mengurangkan masalah ketiadaan air apabila kebocoran tersebut dapat diatasi.