NegeriTerengganu

BN kaburi pemikiran rakyat menjelang pilihanraya

KUALA TERENGGANU– Barisan Nasional (BN) dilihat cuba mengaburi rakyat dengan berbuat baik kepada mereka termasuk menyelesaikan isu tanah yang menghantui masyarakat setempat.

Pengarah Pilihan Raya Pas Terengganu, Ariffin Deraman berkata, tanah merupakan isu besar di Sarawak dan kerajaan dilihat cuba menutup kelemahan mereka dengan memberi perhatian dan mencari penyelesaian dalam tempoh kempen pilihan raya.

Menurutnya, BN juga dilihat mengambil peluang untuk memenangi hati rakyat melalui isu itu, sambil memberitahu pembangkang pula memperjuangkan isu tersebut memandangkan masih ramai yang dilihat tidak mendapat perhatian sewajarnya.

“Isunya apabila tanah digadai kerajaan dan kerajaan juga memonopoli tanah di negeri itu, selain isu kroni yang paling besar,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas seramai 46 orang penduduk kampung Sebandi Matang Hulu di Sarawak menerima surat tawaran untuk mendapatkan tanah berstatus sementara (TOL) yang telah diluluskan Kerajaan Negeri itu.

Pemberian surat itu akan membolehkan penduduk terlibat yang menunggu selama bertahun-tahun sebelum ini berpeluang membina rumah baru lebih selesa untuk keluarga masing-masing.

Ariffin bagaimanapun mempersoalkan berhubung pemberian tanah tersebut dalam tempoh kempen.

Dalam masa sama katanya, pihaknya turut memainkan isu tanah untuk memberi kesedaran kepada rakyat.

“Sarawak adalah negeri yang kaya dengan sumber asli termasuk kayu balak dan minyak sehingga pemimpin mereka sangat kaya tetapi bagaimana mereka boleh berada dalam kedudukan negeri paling miskin dalam negara.

“Kenapa boleh jadi begitu dan perkara ini yang akan diterangkan kepada rakyat supaya mereka memikirkan realiti yang berlaku,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️