Home Berita PAS Melaka

Zubair Al-Awwam qudwah jati diri ummah cakna

265
SHARE

Oleh IBNATDEEN

TANGGA BATU, 27 Mac : Mengulas soalan moderator mengenai ‘personaliti ummah cakna’, Timbalan Pesuruhjaya-1 PAS Melaka, Ustaz Wan Zahidi Wan Ismail berkata sahabat Rasulullah SAW, Zubair Al-Awwam adalah contoh terbaik jati diri ummah cakna ini.

Menurut beliau, ini terbukti dengan sikap yang ditunjukkan oleh Zubair Al- Awwam ketika Baginda Rasulullah SAW memerlukan seorang pengintip bagi mendapatkan maklumat untuk pasukan Islam dalam perang Al-Ahzab.

“Rasulullah SAW bertanya sebanyak tiga kali. Soalan yang sama dan setiap kali soalan tersebut dijawab oleh Zubair,” ujar beliau.

Ulasnya, demi kepentingan Islam, Zubair menjawab pertanyaan Rasulullah SAW dengan segera tanpa memikirkan perkara-perkara lain.

“Sikap ini perlu ada pada aktivis-aktivis PAS. Bila ada seruan sahaja demi kepentingan Islam terus bersikap responsif. Inilah yang dimaksudkan dengan ummah cakna, ummah yang responsif,” ujar beliau lagi.

Tegasnya, pembentukan jati diri ummah cakna ini merupakan satu proses yang perlu dimulakan terutamanya dalam menuntut ilmu.

Beliau menjelaskan perkara ini semasa menjadi ahli panel dalam program diskusi Melaka Update anjuran Jabatan Penerangan PAS Melaka pada Khamis lepas.

Terdahulu beliau telah memulakan ulasannya dengan membaca ayat Al-Quran daripada surah Al-Anfal ayat kedua.

Ulas beliau, rasa takut kepada Allah SWT akan mendorong kepada menunaikan ketaatan dan meninggalkan larangan.

Ayat tersebut, jelas beliau menyingkap perasaan orang yang takut terhadap Allah SWT apabila disebut namaNya.

“Takut ini akan mendorong seseorang untuk melakukan sesuatu.Hasilnya seseorang akan melakukan sesuatu yang diperintahkan dan meninggalkan laranganNya,” jelas Ustaz Wan Zahidi lagi.

Tambahnya lagi, apa-apa sahaja yang berkaitan dengan Islam dan kepentingan Islam, maka sifat orang mukmin yang perlu dicerna adalah sikap responsif iaitu bertindak balas dengan segera.

Program diskusi Melaka Update yang masuk siri keempat ini disiarkan langsung secara dalam talian di laman Facebook PAS Negeri Melaka dan dikendalikan moderator Mohammed Saufee Othman.