Home Berita PAS Melaka

‘Keluarga Sakinah’ bukan barangan jual beli – Ustaz Wan Zahidi.

475
SHARE

 

Oleh IBNATDEEN

TANGGA BATU, 27 Mac : ‘Sakinah’ merupakan perkataan bahasa Arab yang membawa makna ketenangan, ulas Timbalan Pesuruhjaya-1 PAS Melaka, Ustaz Wan Zahidi Wan Ismail yang menjadi ahli panel Melaka Update ketika membuka tirai sesi sembang santai itu pada Khamis lepas.

Tambah Ustaz Wan Zahidi, keluarga sakinah adalah keluarga yang di dalamnya ada ketenteraman, kedamaian dan saling berkasih sayang sesama antara anggota keluarga.

“Ketenangan bukan ada dijual di kedai. Bukan boleh dibeli. Ketenangan adalah kurniaan Allah SWT terhadap mereka yang dikasihi-Nya,” ujar beliau.

Jelasnya, ada sesetengah keluarga yang biasa sahaja dengan pendapatan sederhana dan tiada kenderaan mewah, namun mereka hidup dengan tenang dan memiliki jiwa yang lapang.

Katanya lagi dalam program diskusi yang membincangkan tajuk ‘Keluar Sakinah Ummah Cakna’ itu bahawa memiliki banyak harta bukan syarat mendapatkan ketenangan dalam keluarga.

“Namun tidak bermakna orang yang memiliki harta dan berada tidak akan mendapatkan ketenangan. Paling penting, jika mereka dicintai Allah mereka akan mendapat ketenangan,” ujar beliau lagi.

Program diskusi Melaka Update pada kali ini yang menampilkan beliau sebagai ahli panel dikendalikan oleh moderator tetap Mohammed Saufee Othman dan disiarkan secara langsung di laman Facebook PAS Negeri Melaka.