Home Berita PAS Kelantan

YMM Raja Perempuan perkenan pamerkan karya lukisan

146
SHARE

KOTA BHARU, 8 Ogos: Sejarah terpahat apabila Yang Maha Mulia (YMM) Raja Perempuan Tengku Anis Almarhum Tengku Ab Hamid buat pertama kalinya mempamerkan karya lukisan yang dihasilkan oleh baginda sendiri.

Di samping itu, baginda turut membuat demonstrasi menu masakan istana dalam Program Demonstrasi Masakan dan Kraf Tradisional yang diadakan di Kampung Kraftangan pada 6 Ogos lalu.

YMM Raja Perempuan berkenan berangkat ke program tersebut sempena meraikan Lawatan Muhibbah Toh Puan Hayati Ahmat, balu mantan Yang Dipertua Negeri Sarawak bersama rombongan ke Kelantan.

Keberangkatan tiba YMM Raja Perempuan Tengku Anis disambut oleh Datin Norasikin Ahmad isteri kepada YB Mejar ( B ) Dato’ Md Anizam Ab Rahman yang kemudiannya mengiringi baginda untuk melawat pameran kraf dan demonstrasi makanan.

Selain pameran lukisan daripada pelukis-pelukis terkenal dari Kelantan, turut diadakan juga pameran pelbagai juadah kuih-muih serta makanan tradisi Kelantan seperti akok, lompat tikam, jala emas dan buah tanjung.

Manakala laksam dan butir nako pula dipertontonkan cara pembuatannya oleh tukang masak tersohor Kelantan, Nor Asiha dan Nor Azian Ahmad dari DUN Kemahang.

Sementara itu, peserta dari Pusat Khidmat DUN Kemahang pula menyertai program tersebut dengan menghasilkan barangan kraftangan mereka iaitu lekar yang diperbuat daripada lidi kelapa dan lidi kelapa sawit.