Home Khas

YDPA Payung Negara, jangan diganggu gugat

186
SHARE

YDPA Payung Negara, Jangan Diganggu Gugat

Daulat Tuanku.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terbukti telah mentadbir negara kita dengan penuh adil lagi bijaksana dalam menguruskan wabak COVID-19 serta polemik politik yang berlaku dahulu.

Kebijaksanaan Baginda Tuanku berkenan mengisytiharkan Proklamasi Darurat pada 12 Januari 2021 merupakan keputusan tepat selaras dengan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan. Hal ini amat penting bagi memastikan kerajaan dapat memberi sepenuh perhatian terhadap usaha menangani COVID-19.

Kuasa Yang di-Pertuan Agong selaku ketua negara telah dijalankan dengan sebaiknya dengan membenarkan pelaksanaan pentadbiran badan eksekutif mengikut kedaulatan undang-undang dalam menyelesaikan isu ancaman nyawa.

Dalam pada itu, jika diimbas kembali fasa kritikal polemik politik negara setelah Tun Dr. Mahathir, Perdana Menteri ke-7 meletakkan jawatan pada awal tahun lalu juga berjaya diurus dengan penuh kebijaksaan oleh Baginda Sultan bersama Majlis Raja-Raja Melayu.

Proses bagi mengisi kekosongan jawatan penting negara itu telah dilaksanakan dengan penuh adil mengikut sistem perundangan dan Perlembagaan negara. Setelah dua minggu negara tidak mempunyai Perdana Menteri, akhirnya polemik dapat diselesaikan sekaligus menstabilkan semula negara dengan aman tanpa ada kekacauan dan pertumpahan darah.

Justeru, PAS konsisten mempertahankan Institusi Diraja sebagai payung negara selaras Perlembagaan Persekutuan. Rakyat Malaysia bersatu hati mendukung KDYMM Tuanku serta segala keputusan Baginda demi menjaga kedaulatan dan keamanan negara.

Menjunjung Kasih Tuanku.

‘Islam Memperkukuh Perpaduan’

YB Senator Ustaz Idris Ahmad
Naib Presiden PAS
Ahli Dewan Negara