Home Berita PAS Kedah

YDP Langkawi redah air bantu mangsa banjir

465
SHARE

OLEH ROZAIDI TAIB

LANGKAWI,16 OKT: Hujan lebat yang turun berterusan sejak malam semalam disertai angin kencang menyebabkan kawasan rendah di beberapa kampung dilanda banjir kilat. Beberapa rumah juga ditenggelami air beserta lumpur dan sampah sarap sedalam satu meter.

Yang DiPertua PAS Kawasan Langkawi, Zubir Ahmad bersama beberapa ahli jawatankuasa Khidmat Malaysia Langkawi bergegas turun ke lokasi kejadian meredah air banjir bagi membantu mangsa-mangsa tersebut.

Menurutnya lokasi yang terjejas banjir di Mukim Ayer Hangat ialah Kampung Teluk Yu, Kampung Sungai Itau, Kampung Bohor Merah, Kampung Kilim, Tanjung Rhu, Kampung Tua dan Kampung Pasir Hitam.

“Angin kencang juga menumbangkan beberapa pokok namun tiada yang menimpa rumah penduduk,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Perbandaran Bandaraya Pelancongan Langkawi turut dibantu oleh petugas beberapa agensi kerajaan antaranya Angkatan Pertahanan Awam(APM) Langkawi, Polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Penghulu serta JPKK setempat.

“Alhamdulillah setakat ini tiada kemalangan jiwa atau kecederaan yang dilaporkan, semua mangsa dalam keadaan selamat di rumah masing-masing,” tambahnya.

Mengulas laporan Jabatan Meteorologi yang dikeluarkan beberapa hari lalu, beliau berkata ramalan yang dibuat oleh jabatan itu adalah tepat dan pihaknya memang menjangkakan akan berlaku banjir kilat di beberapa lokasi jesteru langkah berjaga-jaga serta pemantauan untuk bencana memang dilakukan oleh Khidmat Malaysia Langkawi.

“Saya menyeru agar penduduk sentiasa berjaga-jaga dalam cuaca yang tidak menentu ini serta mengikut segala arahan yang diberi oleh pihak berkuasa agar tiada insiden yang tidak diingini berlaku,”tegasnya.

Selain Mukim Ayer Hangat, beberapa mukim lain seperti Kuah, Padang Matsirat, Ulu Melaka, Bohor dan Pulau Tuba turut dinaiki air di beberapa lokasi.