Home Berita PAS Kedah

YADIM Kedah singgah sahur dengan pelajar

243
SHARE

JERAI – Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM) Negeri Kedah telah menganjurkan program Singgah Sahur yang merupakan salah satu cabang dari Program Musa’adah Mega.

Pengarah YADIM Kedah, Ustaz Mohd Aizat Zakaria memimpin langsung program ini sekali gus menyantuni penduduk, para pelajar dan kakitangan sekolah yang terlibat.

Seramai 272 pelajar mendapat manfaat program ini dari sekolah terpilih iaitu SMITI At-Taqwa, SMITI Darul Izzah, SRITI Al-Akhlak Al-Islamiah (SAIF) dan Maahad Tahfiz Al-Fityan.

Turut hadir memeriahkan program tersebut adalah Pengarah Bahagian Khidmat Bakti YADIM, Muhammad Muzzammil Musbah.

Pada program ini, para pelajar dan penerima lain menerima bungkusan makanan daripada food truck yang disediakan bermula jam 4.30 pagi.

Alhamdulillah, program singgah sahur yang dilaksanakan oleh YADIM ini berjaya mencapai tujuannya untuk menyantuni pelajar tahfiz dan sekolah agama rakyat. Program dapat mengeratkan hubungan YADIM dengan masyarakat terutama warga sekolah.

“Sebagai suatu usaha dakwah bil hal YADIM kepada semua masyarakat. Menunjukkan bukti bahawa Institusi Agama di bawah kerajaan pada hari ini peduli dan cakna dengan institusi pendidikan janaan rakyat.

“YADIM berharap akan ada ramai lagi sama ada individu atau NGO atau agensi kerajaan yang tampil menghulurkan sumbangan dan bantuan kepada institusi pendidikan Islam seperti ini dan kepada golongan yang memerlukan terutama dalam bulan Ramadhan ini,” ujar Aizat yang juga merupakan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah.