Home Berita PAS Kedah

Kempen gerakan memerangi pemberi rasuah dilancarkan oleh SPRM Kedah

328
SHARE

 

KUBANG PASU – Wang tunai dan aset berjumlah RM8.1 juta telah disita dan dibekukan bersama penahanan 47 individu termasuk 26 penjawat awam dengan 33 kertas siasatan dibuka.

Demikian angka dikeluarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah berkaitan kes rasuah, salah guna kuasa dan tuntutan palsu yang berlaku sepanjang empat bulan di negeri ini.

Menangani jenayah itu, kempen Gerakan Memerangi Pemberi Rasuah Kedah (GEMPARK) telah dilancarkan pihak SPRM Kedah bertujuan mendidik penjawat awam dan masyarakat.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap memberitahu, daripada 33 kertas siasatan yang dibuka pihak beliau, 24 daripadanya adalah kesalahan menerima rasuah.

Beliau mendedahkan fakta tersebut kepada media selepas program Ziarah Kasih Ramadhan SPRM Kedah yang menyampaikan sumbangan kepada asnaf di Changlun, Jitra, di sini semalam.

“Manakala selebihnya berkaitan kesalahan memberi suapan, tuntutan palsu dan salah guna kuasa. Sebanyak 21 pertuduhan pula dibuat di mahkamah berdasarkan beberapa seksyen di bawah Akta SPRM 2009 dan Kanun Keseksaan.

“Saya minta semua pihak terutama penjawat awam untuk melaporkan kepada SPRM sekiranya mempunyai maklumat berkaitan aktiviti rasuah supaya tindakan sewajarnya dapat diambil,” serunya.

GEMPARK maklumnya, bertujuan mendidik para penjawat awam dan masyarakat untuk menolak sebarang bentuk tawaran atau pemberian rasuah.