Home Berita PAS Kedah

Waspada unsur komunis di sebalik politik pembangkang

434
SHARE

BALING – Memanipulasi, memperalat, memperdaya, menceroboh dan mensabotaj antara perbuatan ekstrem yang sangat sinonim dengan tindakan komunisme, demikian kata ADUN Bayu, Abd Nasir Idris.

Menurut beliau, segala tindakan kumpulan ideologi komunisme sekalipun dilihat seakan baik, hakikatnya propaganda penuh tipu muslihat dan menuju pengakhiran yang jahat lagi kejam.

Katanya, begitulah juga kempen bendera putih, walaupun ia mungkin dari luahan awam yang terdesak hidupnya untuk dapat bantuan, tetapi ia telah menghadapi ‘penyusupan’ politik berkepentingan.

“Politik ala-subversif ini telah memanipulasi dan memperalatkan kempen ini bagi mencapai tujuan mereka. Pihak awam yang terdesak tidak menyedari permainan di belakang tersebut,” ujarnya.

Kerana itulah terangnya, setelah kempen ini kononnya dilihat memihak mereka, maka timbul pula cadangan bendera hitam di mana kegopohan kumpulan ini menjelaskan sebenar-benar tujuan yang hanya untuk memalitkan buruk ke satu pihak.

Bekas guru ini turut mengaitkan perbuatan seperti komunis ini juga berlaku dalam kes kebun haram Musang King di Raub apabila penguat kuasa disabotaj dengan tindakan yang disengajakan.

“Halangan kenderaan dan meruntuhkan titi ke lokasi tidak ubah perbuatan dilakukan komunis zaman dahulu ke atas tentera,” ujarnya merujuk kejadian halangan oleh pekebun haram terhadap tindakan penguat kuasa.

Di dunia ini terangnya, pasukan beruniform komunis tidak disebut tentera, tetapi pengganas dan pemberontak kerana mereka melakukan tanpa mengikut sebarang peraturan atau undang-undang.

Bidasnya, komunis juga bertindak tanpa etika dan sempadan hak samalah seperti mana para pekebun yang bertindak menceroboh tanah dan mengaut hasil secara haram dari hutan simpan di Raub itu

“Tiba-tiba mereka mahu menggunakan hak di satu kes dengan mendapatkan pengadilan ke mahkamah, tetapi di satu kes seumpama mencabar dan merusuh secara kasar terhadap ketetapan undang-undang.

“Budaya komunis ini mesti di atasi sebelum membarah. Tindakan Polis Diraja Malaysia menghantar Pasukan Gerakan Am (PGA) ke Raub adalah wajar. Ia sebagai siap siaga terhadap sebarang kemungkinan.

“Tidak semestinya kehadiran PGA untuk bertindak ke atas pelaku ingkar, tetapi kehadiran mereka penting untuk kawalan dan mencegat sebarang tindak balas,” tegas beliau.

Cikgu Nasir juga berharap masyarakat tidak terpedaya tanpa sedar dengan mereka ini yang berselindung dalam pelbagai wajah dan warna untuk memanipulasikan atau mengambil kesempatan dari kesusahan rakyat.

“Pohonlah (bantuan) dan ikutilah panduan mahupun sistem yang sebenar mengelak dari dipergunakan oleh dalang yang curang. Ingat kembali ketika mereka itu memegang sekejap kurang dua tahun teraju pemerintahan kerajaan negara ini.

“Banyak perkara berkaitan kepentingan negara khususnya Perlembagaan yang menjamin hak Melayu dan Bumiputera, serta kedaulatan agama Islam dan kedudukan Raja-raja Melayu cuba dicabuli mereka,” ujarnya mengajak bermuhasabah.