Home Berita PAS Kedah

Topeng hipokrit pembangkang terdedah wajah sebenar

153
SHARE

Kerajaan Negeri Kedah pimpinan YAB Menteri Besar, Haji Muhammad Sanusi Md Nor ditohmah dengan buruk sekali dalam isu pembalakan di negeri ini, sedangkan ianya adalah kelulusan oleh pentadbiran sebelum beliau. Jeliknya, mereka yang kini berada di posisi pembangkang berpura-pura dengan isu itu.

Ini menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab dan terang bersuluh ianya dipolitikkan semata-mana. Namun, selain palitan jahat cuba dilumur kepada reputasi kerajaan baharu ini, akibat tempiasnya terkena kepada rakyat. Sekonyong-konyongnya, alam sekitar yang menjadi mangsa keadaan.

Pembangkang jugalah cuba menjadi juara untuk dilihat sebagai pembela alam sekitar, tidak lain tidak bukan, ianya juga dipolitikkan untuk menjejaskan imej kerajaan. Tetapi lihat sebenar-benar watak hipokrit mereka sebagaimana kes di Hutan Simpan Kekal Batu Talam di Raub. Kenapa mereka membela penceroboh atau pekebun haram?

Malah, ahli politik pembangkang berlagak samseng dengan mengherdik pasukan penguat kuasa yang melaksanakan undang-undang. Sikap agresif mereka seakan menghadap kepentingan awam itu sebagai musuh, lalu siapakah mereka ini sebenarnya?

Selama lebih 20 tahun pencerobohan oleh pekebun haram di tanah kerajaan itu hanya mengkayakan diri dengan menikmati kesenangan untuk mereka sahaja. Tiba-tiba apabila kesalahan mereka dibongkar dan dilaksanakan penguatkuasaan menurut undang-undang, mereka bangun menentang.

Merekalah sebenarnya yang menodai dan merakusi alam sekitar, merosakkan kelestarian ekosistem hutan dengan menjejaskannya dari akibat penggunaan bahan kimia, baja dan seumpamanya. Tidak cukupkah itu menjadi bukti hipokritnya mereka dalam perjuangan alam sekitar dilaungkan?

Sepatutnya mereka rasa bersalah dan bimbang dihukum kerana melanggar peraturan yang ada, tetapi dibela dengan menyalahguna kalimah ‘hak asasi’ kononnya. Ini petunjuk bahawa perundangan boleh sewenang-wenangnya mengikut nafsu tembolok mereka yang berkepentingan.

Inilah bahaya ahli politik pembangkang yang mempunyai ‘anutan’ kefahaman tidak selari dengan ideologi negara ini berteraskan Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan. Malah, tidak tumpah sikap mereka mirip seakan Komunisme yang selalu sahaja memberontak.

Bahaya ini mesti difahami rakyat agar tidak terpukau oleh lakonan kebajikan cuba dibuat mereka. Hakikatnya dalam konteks demokrasi, mereka hanya menjadikan undi sebagai kesempatan meraih kuasa, namun apabila mereka berada dengan jawatannya, mereka menindas.

Cukuplah dolak dalih atau menipu tidak melaksanakan manifesto, begitu juga pelbagai usaha mereka mahu mengubah status dan hak-hak sedia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan termasuk kedudukan Islam dan Raja-raja serta hak Melayu dan Bumiputera.

Malah, keangkuhan mereka selama berkuasa 22 bulan juga telah menyinggung banyak perasaan orang Melayu-Islam dan tidak henti-henti memperlekehkan agama Islam dari ucapan celupar dan biadab terhadap Allah SWT dan Nabi SAW. Jangan dilupai mereka kerana orang beriman tidak dipatuk dua kali di lubang sama.

Kenali sebenar-benarnya mereka ini termasuk juga pihak-pihak yang sanggup menjadi tali barut mereka demi untuk jawatan dan kuasa, tetapi menggadai kepentingan dan maruah bangsa serta agama. Mereka tiada kesetiaan kepada negara ini melainkan berjiwa seakan penjajah.

YB MEJAR (B) MANSOR ZAKARIA
ADUN Kuala Ketil