Home Berita PAS Kelantan

VISMA pencetus generasi remaja Rabbani

184
SHARE

KOTA BHARU, 5 Jan: Urus Setia Belia dan Sukan Negeri Kelantan (U-BeS) merangka pelan strategik dan perancangan bagi tahun 2022 yang bertepatan dengan hasrat Menteri Besar Kelantan, YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob untuk menangani masalah gejala sosial di negeri Kelantan khususnya dan Malaysia amnya bahkan di seantaro dunia.

Sehubungan itu, pihak U-BeS telah melancarkan Visi Remaja Kelantan (VISMA) dengan meletakkan beberapa agenda jangka pendek dan panjang kepada golongan remaja atau belia awal usia.

Demikian kenyataan Pengarah U-BeS, Nasruddin Mahmud Muhaidin semasa ditemubual secara langsung menerusi facebook rasmi Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) Isnin lalu sempena sambutan tahun baharu 2022.

Menurutnya, VISMA mempunyai dua objektif, pertama mewujudkan kelompok remaja yang menjalani kehidupan mengikut gaya hidup semasa mereka dalam kerangka pedoman syariat dan kedua, menarik minat remaja terhadap kehidupan sejahtera berteraskan nilai-nilai murni dan terhindar daripada anasir yang bukan daripada budaya masyarakat Malaysia.

Manakala dua matlamat VISMA ialah pertama melahirkan remaja yang taat kepada agama dengan menekankan soal ibadah melalui pendekatan yang bersesuaian dengan kepelbagaian latar sosio dan budaya hidup masa kini. Kedua ialah melahirkan remaja yang menghindari dan benci kepada gejala sosial melalui pelbagai aktiviti yang bersesuaian dengan remaja.