Home Berita PAS Kedah

Ustazah Siti Ashah Ghazali kekal terajui Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah

187
SHARE

Oleh SARINA ISMAIL 

ALOR SETAR, 25 Okt : Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali kekal menerajui Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah sesi 2021/2023  apabila menang tanpa bertanding pada pemilihan sempena Muktamar Tahunan Dewan berkenaan kali ke 52, 22 Oktober lalu.  

Sementara, jawatan Timbalan dan Naib Ketua juga menyaksikan dimenangi pemegang sedia ada,  Ustazah Siti Mekiah Shamsudin dan Ustazah Fatimah Wan Teh.  

Pemilihan kali ini juga menyaksikan 10 ahli jawatankuasa menang tanpa bertanding apabila lapan daripada 18 percalonan menarik diri dari bertanding.  

Menurut ketua pengundian, Ustaz Azizan Hamzah, pengerusi tetap, timbalan pengerusi tetap, pemeriksa kira-kira satu dan dua juga kekal menang tanpa bertanding.  

“Saya ucapkan tahniah kepada semua yang berjaya mengekalkan jawatan masing-masing pada sesi kali ini,” ujar beliau ketika mengumumkan senarai nama yang terpilih.  

Katanya lagi, 15 dewan muslimat kawasan telah menunaikan tanggungjawab  menghantar senarai pencalonan jawatankuasa sesi 2021/2023 mengikut masa yang ditetapkan.  

Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Kedah kali ke 52 kali ini diadakan di Kompleks PAS Kedah dan dirasmikan oleh Pesuruhjaya PAS Kedah, Senator Ahmad Yahaya.  

Muktamar kali juga dilangsungkan dengan agak ketat di mana semua jawatankuasa, perwakilan dan urusetia yang hadir mesti telah divaksinasi dua dos lengkap serta melakukan ujian kendiri pengesanan Covid-19.