Oleh : Anas Abdullah
HANG TUAH JAYA, 16 Sept : Peranan utama Penasihat Agama kepada Ketua Menteri Melaka adalah untuk memberi pandangan dan penambahbaikan pentadbiran serta pengurusan dalam agensi-agensi kerajaan berkaitan agama Islam.
Antara agensi itu ialah Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Jabatan Mufti Negeri Melaka, Mahkamah Syariah Negeri Melaka dan anak-anak syarikat yang berkaitan.
Peranannya bukanlah untuk membuat keputusan tetapi lebih kepada memberi pandangan dan penambahbaikan pentadbiran serta pengurusan dalam agensi-agensi kerajaan tersebut agar selari dengan dasar kerajaan negeri atau perkara yang perlu ditokok tambah dan sebagainya.
Menurut Ustaz Kamaruddin Sidek, sebagai Penasihat Agama kepada Ketua Menteri Melaka, beliau juga berperanan menghadiri mesyuarat-mesyuarat agensi tersebut mewakili Pejabat Ketua Menteri dan Ketua Menteri sendiri yang mana Ketua Menteri adalah Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Melaka dan beliau juga terlibat dalam kerajaan secara keseluruhannya dan sudah tentu beberapa perkara yang melibatkan agensi-agensi tersebut Yang Amat Berhormat Ketua Menteri tidak sempat hadiri.
“Antara perkara yang paling besar yang pernah kita bawa adalah memberi pandangan supaya enakmen baru digubal tentang pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) Negeri Melaka untuk ditambah baik kepada Al-maturidiyyah Al-asy’ariyyah yang mengambil enakmen dari Negeri Kedah dan Johor supaya lebih mantap perlaksanaan Ahli Sunnah Wal Jamaah di Negeri Melaka.
“Sebelum ini enakmen sedia ada nampak terlalu umum dan ada pihak yang mengambil kesempatan menggunakan nama Ahli Sunnah Wal Jamaah tetapi dalam penghayatan perlaksanaannya kadang-kadang ditentang oleh individu-individu tersebut.” ujar beliau.
Ustaz Kamaruddin Sidek yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Melaka berkata demikian ketika menjadi ahli panel di Program Jelajah 100 Hari PAS Di Dalam Kerajaan Negeri Melaka yang berlangsung secara dalam talian di Pejabat Penerangan PAS Negeri Melaka di sini malam tadi yang telah disiarkan secara langsung di dalam Facebook PAS Negeri Melaka.