Home Berita PAS Melaka

Ustaz Imran ajak orang Masjid Tanah berbelanja di Gerai Prihatin Rakyat PN

91
SHARE

Oleh IBNU JANIE

MASJID TANAH, 16 Okt: Yang Dipertua PAS Kawasan, Ustaz Imran Abdul Rahman mengajak penduduk Masjid Tanah daripada golongan B40 untuk berbelanja di Gerai Prihatin Rakyat yang dijalankan secara ‘drive-thru’ bermula jam 10.30 pagi ini di Kawasan Perindustrian Pengkalan Balak bersebelahan Taman Bidara Permai.

“Ini adalah antara yang kita usahakan untuk meringankan beban rakyat yang terkesan akibat Covid-19 yang merupakan cetusan idea Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri, Datuk Wira Ahmad Rafiq Naizamohideen.

“Kita jual satu set barangan iaitu sebungkus Milo 200 gram, seekor ayam mentah, sepapan telur ayam dan dua kilogram kentang pada harga RM15 sahaja.

“Dan kita sediakan 2000 set. Bermakna ada 2000 keluarga boleh membeli set ini. Kita tetapkan satu keluarga boleh beli satu set sahaja dan sila bawa kad pengenalan,” ujar beliau ketika dihubungi Wartawan Rakyat Melaka (WARM) sebentar tadi.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka itu menambah, ia memang sangat berbaloi kerana nilai sebenar set barangan tadi ialah RM33 bermakna pembeli akan jimat sebanyak RM18.

“Jadi tolong datang untuk membeli. Kita akan mula menjual jam 10.30 pagi. Untuk mengurangkan risiko Covid-19 kita buat secara ‘drive thru’ supaya orang tidak bersesak-sesak. Jadi jangan risau.

“Tapi walau pun ‘drive thru’, SOP (prosedur operasi standard) Covid-19 tetap kita patuhi seperti yang sewajarnya.

“Mari datang beramai-ramai bermula pukul 10.30 pagi. Kita jangka program berakhir jam 5.30 petang. Tetapi ia bergantung selagi stok masih ada. Siapa cepat dia dapat. Kita akan tutup gerai bila stok dah habis dijual,” ujar beliau lagi.