Home Artikel PAS Melaka

Usia baru 40-an, sudah derma darah 86 kali

395
SHARE

Oleh : Siti Hajar

HANG TUAH JAYA, 17 Jan: Seorang warga Malaysia yang berbangsa Cina menjadi tarikan kerana sudah menderma darah sebanyak 86 kali termasuk hari ini dalam program Amal Mega Blood Donation (AMBD) anjuran Jabatan Amal Negeri Melaka (JAM) yang diadakan di AEON Bandaraya Melaka.

Lim Kim Seng, 45, yang berasal dari Banda Kaba mengungkapkan, beliau sentiasa melibatkan diri dalam aktiviti menderma darah tiga hingga empat bulan sekali.

“Saya mula menderma darah sejak usia 18 tahun dan saya rasa gembira apabila berjaya mendermakan darah.

“Hal ini bermakna saya seorang yang sihat tubuh badan malah seseorang mungkin dapat sembuh dengan darah yang saya sumbangkan”, ujar beliau semasa ditemubual.

Tambah beliau, semenjak pandemik Covid-19 melanda negara, beliau jarang menderma di hospital kerana situasi yang sesak di hospital.

Oleh itu, beliau lebih gemar untuk menyertai aktiviti derma darah yang dianjurkan di luar kawasan hospital seperti program AMBD ini.

“Saya menyeru orang muda terutamanya, agar memanfaatkan peluang menderma darah demi kebaikan semua tanpa mengira latarbelakang kaum,” kata beliau mengakhiri temuramah dengan Wartawan Rakyat Melaka (WARM) sebentar tadi.